Suspek serangan di Subway New York ditangkap

Pihak polis mengawal Stesen 36th Street selepas berlaku insiden tembakan. - Foto EPA
Pihak polis mengawal Stesen 36th Street selepas berlaku insiden tembakan. - Foto EPA
A
A
A

NEW YORK - Lelaki yang disyaki menembak 10 penumpang dalam kereta api bawah tanah di Brooklyn, New York, ditahan pada Rabu selepas pemburuan selama 30 jam, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa.

Suspek, Frank James, ditahan pada petang Rabu di Manhattan selepas polis menerima maklumat, kata Pesuruhjaya Polis New York City Keechant Sewell dalam satu sidang akhbar.

James, 62, disyaki melepaskan bom tangan asap dan sekurang-kurangnya 33 tembakan pistol di dalam kereta api bawah tanah pada waktu puncak pagi Selasa, kata polis.

Serangan itu menyebabkan lebih 20 orang cedera, 10 daripadanya akibat tembakan, bagaimanapun, tiada kecederaan yang mengancam nyawa dilaporkan.

James didakwa kerana melanggar larangan persekutuan bagi "serangan pengganas dan keganasan lain terhadap sistem pengangkutan awam," kata Peguam AS untuk Daerah Timur New York Breon Peace, pada sidang akhbar itu, dan menambah kata "jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga seumur hidup."

James mempunyai rekod sembilan tangkapan sebelum ini di New York dan tiga tangkapan di New Jersey, menurut pihak berkuasa.

Pihak berkuasa mengenal pasti James sebagai orang yang dikehendaki pada malam Selasa. Motif serangan masih tidak jelas, dan siasatan lanjut diteruskan.

Serangan berlaku ketika bandar itu sedang bergelut untuk menangani insiden tembakan yang meningkat sebanyak 16.2 peratus kepada 115 pada Mac berbanding setahun lalu, menurut data daripada Jabatan Polis New York. - Bernama

Artikel Berkaitan: