Empat rakan didakwa bunuh seorang lelaki

Polis membawa keempat empat lelaki terbabit ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan kes bunuh pada Khamis.
Polis membawa keempat empat lelaki terbabit ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan kes bunuh pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] PETALING JAYA - Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan membunuh seorang kenalan lelaki mereka pada 3 April lalu.

Tertuduh, kontraktor, M Mukuntan, 33 yang memakai baju T bewarna maroon hitam; pemandu lori tunda, S Mahadevan, 40 (putih); pemandu bas, A Chandramani, 36 (merah) dan pemandu lori, S Tharma, 30 (biru) mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh M Danesh, 30, di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini kira-kira jam 5.27 pagi pada 3 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh.

Ia dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam, kira-kira jam 5.56 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, pihak polis menahan empat lelaki berusia 30 hingga 40 tahun di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang bagi membantu siasatan.