Projek ECRL di Terengganu capai 27.86 peratus

Darwis
Darwis
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 27.86 peratus setakat Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, proses pengambilan tanah di Terengganu juga sudah selesai kecuali daerah Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang masih dalam urusan pewartaan.

“Kami berterima kasih atas kerjasama diberikan kerajaan negeri dan semua agensi di sini yang banyak membantu melancarkan projek ECRL dengan harapan rakyat mendapat sistem pengangkutan lebih maju, moden dan efisien.

“Kita berada pada landasan tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Majlis Berbuka Puasa Bersama MRL di Hotel Paya Bunga, di sini pada Rabu.

Menurut Darwis, pembinaan enam buah stesen ECRL di Terengganu dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dengan kerja infrastruktur siap sepenuhnya pada dua tahun lagi dan diteruskan proses penyediaan sistem serta ujian.

Beliau berkata, enam stesen ECRL di Terengganu melibatkan dua stesen penumpang dan kargo di Dungun dan Chukai serta empat stesen penumpang di Jerteh, bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasek.

Sementara itu, Darwis turut memaklumkan projek ECRL sepanjang 665 kilometer membabitkan jajaran di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dibina dengan reka bentuk bebas daripada bencana banjir.

Jelas beliau, reka bentuk tersebut menggunakan kiraan kala kembali (Average Recurrence Interval, ARI) paras banjir selama 100 tahun dengan struktur lebih tinggi dan beberapa lokasi berisiko banjir di sepanjang jajaran sudah dikenalpasti.

Artikel Berkaitan:

“Landasan ini dibina atas dari paras banjir yang paling tinggi berlaku sebelum ini. Contohnya di Sungai Pahang, mengikut statistik ketinggian paras banjir ketika itu adalah 38 meter dan landasan kita bina pula setinggi 51.2 meter.

“Jadi landasan kita 13 meter lebih tinggi. Dari segi jajaran kita memang lebih daripada paras banjir yang telah berlaku sepanjang tempoh 100 tahun dan kita tambah lagi 20 peratus," katanya.