Pengawal keselamatan maut, kereta terbabas langgar lori

Anggota bomba dari BBP Raub membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas terbabas melanggar lori berhenti di tepi jalan di Jalan Cheroh di sini pada awal pagi Khamis. - Foto Facebook JBPM PAHANG
Anggota bomba dari BBP Raub membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas terbabas melanggar lori berhenti di tepi jalan di Jalan Cheroh di sini pada awal pagi Khamis. - Foto Facebook JBPM PAHANG
A
A
A

RAUB - Seorang pengawal keselamatan maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu melanggar lori yang berhenti di tepi jalan di Batu 12 Jalan Cheroh di sini pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.20 pagi itu, mangsa, Muhamad Akmal Fikri Mohd Nazari, 22, dari Kampung Batu Talam di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Raub menghala ke Cheroh.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori yang parkir di tepi jalan.

"Akibat kejadian, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Kama Azural berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

"Ketika tiba di lokasi mendapati seorang mangsa tersepit dalam kenderaan dan disahkan telah meninggal dunia oleh petugas perubatan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi mengeluarkan mayat mangsa segera dilakukan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.