LHDN terima 1.16 juta borang penyata cukai setakat 31 Mac

LHDN telah menerima sebanyak 1.16 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 setakat 31 Mac lalu membabitkan pembayar cukai yang tidak menjalan perniagaan. - Foto hiasan
LHDN telah menerima sebanyak 1.16 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 setakat 31 Mac lalu membabitkan pembayar cukai yang tidak menjalan perniagaan. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima sebanyak 1.16 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 setakat 31 Mac lalu membabitkan pembayar cukai yang tidak menjalan perniagaan.

LHDN dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, penerimaan yang dilakukan secara e-filing dan manual itu menyaksikan pembayar cukai kategori Individu pemastautin menjadi kumpulan paling ramai iaitu 1.15 juta borang.

Ia diikuti oleh kategori pembayar cukai individu bukan pemastautin yang melibatkan penerimaan sebanyak 5,310 borang, pertubuhan (389), harta pusaka (345), individu pemastautin (pekerja berpengetahuan/berkepakaran) (263) dan individu bukan pemastautin (pekerja berpengetahuan) (dua)

Tiada penerimaan direkodkan bagi kategori pembayar cukai keluarga sekutu Hindu.

Dalam pada itu, LHDN menyarankan pembayar cukai supaya mengemukakan Borang Nyata Cukai dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar borang dan kenaikan lewat bayar cukai.

“Pembayar cukai juga dinasihatkan untuk mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai (jika ada),” menurut kenyataan itu.

Tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) yang ditetapkan bagi pengemukaan secara manual adalah pada 30 April 2022 manakala e-filing pula pada 15 Mei ini.

LHDN menyatakan bahawa pembayar cukai boleh kepada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 sebagai panduan untuk mengemukakan borang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia boleh dirujuk melalu pautan https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf (bahasa Melayu) dan https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf (bahasa Inggeris).