Wanita maut motosikal gesel basikal

Mangsa disahkan maut di tempat kejadian. -Foto: ihsan pembaca
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian. -Foto: ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 198.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 petang itu, Nurul Izzah Abdul Wahab, 22, beralamat di Simpang Empat, Semanggol di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bergesel dengan sebuah basikal sebelum dilanggar sebuah kereta.

"Mangsa menunggang dari arah Kamunting menghala ke Semanggol dipercayai telah bergesel dengan basikal yang ditunggang lelaki di lorong kecemasan.

"Kejadian itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke lorong kiri menyebabkan kereta yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

"Dalam kejadian itu, lelaki yang menunggang basikal turut mengalami patah kaki kanan dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: