Kementerian Pertahanan berjaya laksana separuh Amanat 2022

Hishammuddin (tengah) dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (dua, kanan) bersama para hadirin pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Bernama
Hishammuddin (tengah) dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (dua, kanan) bersama para hadirin pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Kementah) berjaya melaksanakan lebih separuh daripada perancangan kementerian itu bagi tahun 2022 dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara kejayaan dicapai adalah pembinaan 305 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di Kem Segamat, 204 unit di Kem Pakit dan 20 unit Kem Oran yang telah siap sepenuhnya.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya juga telah menerima empat buah Kapal Misi Pesisir untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia dan enam unit helikopter untuk Pasukan Udara Tentera Darat.

"Daripada segi kebajikan, salah satu perkara yang saya sebut dalam Amanat 2022 ialah berusaha menambah baik kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Alhamdulillah Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah umum pada 6 Mac lalu dividen LTAT bagi tahun 2021 ialah 4.1 peratus iaitu yang tertinggi sejak tahun 2019,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan majlis berbuka puasa kementerian itu, di sini pada Rabu.

Hishammuddin berkata, pada Januari lepas beliau telah menyampaikan Amanat 2022 yang sarat dengan perancangan untuk dilaksanakan Kementerian Pertahanan tahun ini.

"Hari ini, tidak sampai empat bulan, sukacita untuk saya nyatakan bahawa sebahagian perancangan tersebut telah selesai dengan jayanya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kejayaan yang dicatat itu juga turut menambah semangat warga kementerian dan LTAT untuk menjayakan perancangan seterusnya termasuk pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera bagi membolehkan tabung persaraan yang diuruskan LTAT dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Hishammuddin menjelaskan kabinet telah memberi kelulusan secara prinsip dan perkara itu akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini.

"Demi kepentingan pencarum, terdapat dua perkara yang diberi penekanan dalam Pindaan Akta LTAT iaitu memberikan fleksibiliti agar pencarum tentera boleh memilih untuk meningkatkan kadar caruman syer pekerja/individu lebih daripada 10 peratus atau membenarkan pencarum memilih untuk terus menabung dengan LTAT walaupun sudah tamat perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, seramai 291 kakitangan kementerian dan 45 warga Angkatan Tentera Malaysia dipilih sebagai penerima APC Tahun 2021 serta 45 orang dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Dan Pekerti Terbilang (PPT) hari ini. - Bernama