DJ Wong muncul di Facebook selepas seminggu hilang

DJ Wong ketika bersiaran langsung menerusi Facebook tengah malam tadi.
DJ Wong ketika bersiaran langsung menerusi Facebook tengah malam tadi.
A
A
A

GURUN - Kehilangan seorang deejay yang dikenali sebagai DJ Wong sejak tujuh hari lalu terjawab apabila lelaki tersebut muncul bersiaran secara langsung di Facebook miliknya pada tengah malam Selasa.

DJ Wong atau nama sebenarnya, Noor Aziz Johari, 53, tampil berbaju Melayu biru muda sambil meminta maaf dan bersumpah di hadapan al-Quran.

Sebelum mengakhiri siaran langsung terbabit, DJ Wong melafazkan cerai talak tiga terhadap isterinya selain mengumumkan kepada pengikutnya yang dia tidak akan muncul lagi di FB selepas ini.

Menerusi siaran langsung berdurasi 15 minit itu, DJ Wong turut memaklumkan dirinya sihat dan selamat selain meminta semua pihak menghentikan pencarian kerana didakwa menghilangkan diri.

Bagaimanapun, DJ Wong tidak mendedahkan lokasi sebenar dia berada mahupun di mana dia bersiaran.

"Saya bawa duit RM2.70 saja dan telefon bimbit, inilah modal saya," katanya sebak menerusi siaran langsung tersebut.

Menurutnya lagi, dia keluar rumah dengan kerelaan hati kerana berdepan masalah peribadi dengan isteri yang dikenali sebagai DJ Sal.

Walaupun sesekali dilihat menangis, DJ Wong memanjatkan kesyukuran kerana masih sihat dan dapat berbuka puasa di tempat yang selamat.

Artikel Berkaitan:

DJ Wong dikatakan menghilangkan diri selepas keluar melalui pintu belakang rumahnya di Taman Ria Mesra 2 pada 9.30 malam Rabu lalu.

Kehilangannya itu menimbulkan persoalan kepada peminat dan ahli keluarga kerana keluar sehelai sepinggang manakala telefon bimbitnya dimatikan.

Sementara itu, isterinya, DJ Sal turut membuat siaran langsung di Facebook bagi menjawab kenyataan suaminya itu.

"Tampil di depan saya, jangan sembunyi di belakang, kenapa buat secara live," katanya yang dipetik daripada siaran langsung itu.

DJ Sal turut menyifatkan suaminya sebagai dayus berikutan tindakannya melafaz cerai secara langsung di Facebook.

Pada masa sama, DJ Sal berulang kali menyatakan enggan mengaibkan DJ Wong dan meminta lelaki terbabit menunggu di mahkamah untuk urusan selanjutnya.

Pasangan itu sebelum ini aktif bersiaran secara dalam talian di Facebook 'DJ Wong And Sal Bollywood' dan mempunyai hampir 100,000 pengikut.