X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Undang-undang anti lompat parti Pulau Pinang rujuk Mahkamah Persekutuan

DUN Pulau Pinang dibenar merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan keperlembagaan undang-undang anti lompat parti negeri itu.
A
A

PUTRAJAYA - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speakernya dibenarkan merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan keperlembagaan undang-undang anti lompat parti negeri itu.

DUN dan Speakernya mahu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Azizan Md Arshad pada Selasa membenarkan permohonan rujukan yang dikemukakan DUN dan Speakernya di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau memberi kebenaran kepada pemohon untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan selepas memutuskan bahawa mereka telah memenuhi syarat asas di bawah Seksyen 84.

DUN Pulau Pinang dan Speaker, Datuk Law Choo Kiang mahu persoalan perlembagaan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan atas dasar keputusan berhubung perkara dalam kes Nordin Salleh melawan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah diputuskan pada 1992, perlu dihujahkan lagi.

Dalam penghakimannya, Azizan berkata, dalam kes Abdul Karim Abdul Ghani melawan Badan Perundangan Sabah yang melibatkan isu kehilangan kelayakan ahli DUN di bawah Perkara 74(4) Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, ini kerana hujah DUN dan Speaker adalah berdasarkan kuasa negeri untuk menggubal undang-undang mengenai kelayakan ahli DUN.

Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan Speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Zulkifli dan Afif dipecat daripada PKR pada 2020 manakala Khaliq dan Zolkifly adalah ahli Bersatu.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

DUN dan Speakernya yang diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, telah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan itu ke Mahkamah Persekutuan tahun lepas.

ADUN tersebut diwakili peguam D P Naban dan Rosli Dahlan.

Pembentangan usul supaya keempat-empat mereka mengosongkan kerusi mereka telah ditangguhkan sementara menunggu selesai saman mereka. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!