Fokus pengukuhan program TVET: MB Selangor

Amirudin bergambar bersama pelajar-pelajar lepasan STPM dan SPM yang hadir ke program Jelajah Pendidikan Selangor 2019 hari ini.
Amirudin bergambar bersama pelajar-pelajar lepasan STPM dan SPM yang hadir ke program Jelajah Pendidikan Selangor 2019 hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang merangka pelan pengajian terbaru untuk ditawarkan kepada rakyat Selangor menjelang tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pelan pengajian yang bakal dirangka itu akan menumpukan kepada aspek pengukuhan program kecekapan Pendidikan Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET).

Menurutnya, beliau mendapat ilham selepas melakukan lawatan ke Berlin dan Munich, Jerman baru-baru ini.

"Banyak perkara yang dapat dicontohi dari negara Jerman untuk diaplikasikan di sini... Program TVET di sana sudah berjaya dan dilaksanakan sejak 700 tahun lalu.

"Saya percaya kita tak perlu ratusan tahun untuk mencapai kejayaan itu sebaliknya hanya sedikit masa untuk merangka beberapa pendekatan bersesuaian untuk ditawarkan kepada rakyat Selangor," katanya.

Katanya, kerajaan negeri percaya mampu memperkasakan lagi bidang pendidikan sekali gus untuk menyediakan modal insan terbaik dari Selangor.

"Kita jangkakan pelan pengajian selesai dirangka tahun ini supaya inisiatif itu sudah ada dalam Bajet 2020," katanya.

Terdahulu, Amirudin merasmikan program Jelajah Pendidikan Selangor (JPS) 2019 di Pusat Konvensyen Selangor, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Program JPS anjuran Persatuan Generasi Selangor Berjaya itu julung kali diadakan bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih destinasi institusi pendidikan tinggi pilihan mereka termasuk peluang mendapatkan biasiswa dan bantuan kewangan yang dikhususkan kepada anak Selangor.

Turut hadir pada majlis, Pengerusi Jawatankuasa JPS, Prof Dr Azali Mohamad dan Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim.