Sila log masuk terlebih dahulu.

Ahli perniagaan didakwa rahsiakan sumber 100kg emas, wang RM3.4 juta

Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram.
Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, antaranya merahsiakan sumber 100 keping emas dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) dan wang tunai berjumlah RM3.4 juta, tahun lepas.

Choo Hin Voon, 44, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Hin Voon didakwa merahsiakan sumber 100 kepingan emas seberat 100kg, wang tunai RM3.4 juta dan wang tunai AS$1.2 juta yang dirampas oleh dua pegawai polis di sebuah rumah di Jalan Batu Nilam 25, Bandar Bukit Tinggi Klang, Klang, Selangor pada 14 dan 19 April 2021, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua perbuatan didakwa dilakukan antara 23 Jun 2021 dan 7 April lepas mengikut Subseksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Subseksyen itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, Hin Voon didakwa dengan niat memperdaya telah menggunakan suatu catatan palsu melalui dokumen pernyataan bertulis dengan bersumpah di bawah Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, berhubung harta hasil daripada aktiviti haram iaitu kepingan emas dan wang tunai seperti dalam pertuduhan pertama hingga ketiga.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama subseksyen 49(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya telah menetap di Klang, Selangor bersama isteri dan dua anaknya selama 17 tahun selain tiada risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan Hin Voon diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap awal bulan selain menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes. - Bernama