'Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk' - Syed Saddiq

Syed Saddiq (berdiri tengah) bertemu dengan ahli keluarga Yasin pada Rabu. - Foto FB Syed Saddiq
Syed Saddiq (berdiri tengah) bertemu dengan ahli keluarga Yasin pada Rabu. - Foto FB Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Undang-undang yang mengharamkan perubatan menggunakan kanabis atau ganja sudah lapuk, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah pun mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik.

“Realitinya bila cakap mengenai rokok, rokok membunuh lapan juta orang setiap tahun, di Malaysia sahaja 27,000. Alkohol pula tiga juta kematian setiap tahun.

“Tapi bila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu tabu dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan. Ingat, pesakit bukan penjenayah!" tegasnya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Syed Saddiq dalam masa sama turut memohon maaf kepada penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman kerana terlepas pandang hantaran Facebooknya pada 14 Oktober tahun lalu yang menyokong sepenuhnya usaha beliau memperjuangkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

“Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada saudara Yasin sebab terlepas pandang hantaran saudara pada Oktober lepas.

“Ia merupakan rayuan meminta tolong bukan sahaja untuk Yasin tetapi juga untuk orang lain yang turut menderita dan memerlukan perubatan ganja sebagai rawatan.

Tangkap layar hantaran Facebook Yasin pada Oktober tahun lalu.
Tangkap layar hantaran Facebook Yasin pada Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Tidak ada mak ayah yang nak tengok anak mereka sakit dan masuk penjara sebab cari rawatan. Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk kesihatan anak-anak. Mama saya pun merayu, mohon bantu saudara Yasin,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi lagu Mimpi Laila itu memohon agar Syed Saddiq dapat menyegerakan kelulusan dadah jenis kanabis untuk perubatan.

Yasin berkata demikian ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah, iaitu menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama, minggu lalu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau juga ada berjumpa dengan ibu bapa yang terpaksa mendapatkan CBD atau ‘cannabidiol’ dari luar negara untuk tujuan perubatan anak-anak mereka.

“Saya ada jumpa mak ayah yang terpaksa beli CBD dari luar negara untuk anak-anak mereka. Doktor-doktor pun ada cuba bantu dapatkan CBD untuk pesakit.

“Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi Yasin yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul,” katanya.