Ambrin sepatutnya putuskan maklumat dalam laporan audit 1MDB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sepatutnya memutuskan maklumat apa yang perlu dimasukkan dan dikecualikan dalam laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana beliau mempunyai kuasa tertinggi pada ketika itu.

Tan Sri Dr Madinah Mohamad, yang mengambil alih jawatan Ambrin pada 2017, berkata ia masih menjadi prerogatif Ambrin ketika itu untuk memutuskan sama ada menerima atau tidak cadangan yang dibuat oleh pihak yang diaudit.

Saksi berusia 66 tahun itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda atas dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-12 itu yang tidak terlibat dalam proses pengauditan tersebut pada 2015 dan 2016 bagaimanapun bersetuju bahawa pihak yang diaudit tidak boleh mengarahkan juruaudit untuk mengeluarkan fakta atau penemuan tertentu dalam mana-mana laporan audit.

Sivananthan: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa pihak yang diaudit, bagaimanapun, boleh mengemukakan cadangan tentang maklumat apa yang perlu dimasukkan dalam laporan audit berdasarkan dokumen tersebut?

Madinah: Saya setuju

Sivananthan: Akhirnya, ketua audit negara (Ambrin) yang harus memutuskan perkara yang patut ada dan tidak (dalam laporan audit)?

Madinah: Ya, betul.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu juga bersetuju dengan Sivananthan bahawa Ambrin menjadi orang yang tepat untuk menjelaskan apa yang telah berlaku semasa proses audit 1MDB dan apa yang dilakukan atau tidak dilakukan, seterusnya bersetuju bahawa ketua audit negara mempunyai budi bicara untuk memutuskan perkara yang patut atau tidak patut dilakukan.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 20 April. - Bernama