Warga asing dicekup di parkir hospital, bawa dadah lebih RM100,000

Dua warga Indonesia ditahan polis bersama dadah disyaki syabu dan ganja bernilai RM109,298. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Dua warga Indonesia ditahan polis bersama dadah disyaki syabu dan ganja bernilai RM109,298. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki warga asing ditahan polis bersama dadah disyaki syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai RM109,298 di kawasan tempat letak kereta awam Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki warga Indonesia berusia 27 dan 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban ketika dilihat menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu telah menemui empat bungkusan plastik yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 2,683 gram dan lima ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 5,084 gram.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 7,767 gram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM109,298," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar Seremban dan Port Dickson selain untuk kegunaan sendiri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada kenderaan juga mendapati nombor pendaftaran adalah palsu, manakala kedua-dua suspek tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamine. Suspek direman selama 14 hari bermula semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 108A Akta Pengangkutan 1987 serta di bawah Akta Imigresen kerana tiada dokumen pengenalan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang erat antara masyarakat dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat mengenai jenayah narkotik.