'Kelantan tak perlu panggung wayang, media sosial dah cukup'

Ahmad Yaakob
A
A

LARUT - Tiada keperluan untuk Kelantan mempunyai panggung wayang kerana perkembangan pesat media sosial sudah memberikan kepuasan hiburan kepada rakyat.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob berkata kewujudan panggung wayang juga akan menyebabkan kerajaan negeri sukar untuk mengawalnya.

"Sejak zaman (Tok Guru) Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat lagi Kelantan tidak mempunyai panggung wayang dan media sosial sudah cukup memberikan akses apa sahaja capaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Larut kali ke-57 di Dewan Majlis Daerah Selama di sini hari ini.

Pada Selasa, Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mencadangkan kerajaan negeri supaya membenarkan pembukaan pawagam patuh syariah di negeri itu selepas operasinya dihentikan kira-kira 20 tahun lalu.

Khamis lalu, ADUN Keranji Chong Zhemin dari DAP Perak dalam sebuah portal dilapor mempersoalkan kenapa Kelantan mencatatkan kes HIV antara paling tinggi walaupun panggung wayang diharamkan di negeri itu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata usaha memberikan kesedaran mengenai HIV perlu dipertingkatkan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk mencegahnya kerana ia merupakan perbuatan yang tidak bermoral.

Menurutnya, usaha yang dibuat untuk mempersoalkan HIV di Kelantan kerana DAP melihat Kelantan adalah kubu kuat Pas dan mereka mahu menghilangkan sokongan rakyat kepada Kelantan.

“Kelantan terletak berdekatan dengan sempadan Thailand dan pelbagai perkara boleh masuk ke Kelantan termasuk dadah. Mereka yang terlibat dengan HIV ini biasanya berada berhampiran dengan sempadan," katanya.

ARTIKL BERKAITAN:Kelantan tidak akan buka semula panggung wayang