Johor perluas kaedah pembangunan rumah mampu milik

Mohd Jafni (tengah) ketika ditemui pemberita ketika hadir Program Singgah Sahur Kelab Media Johor di Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri pada Rabu.
Mohd Jafni (tengah) ketika ditemui pemberita ketika hadir Program Singgah Sahur Kelab Media Johor di Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor bersedia meluaskan lagi kaedah pembangunan rumah mampu milik berharga RM200,000 ke bawah bagi meningkatkan lagi peluang rakyat kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, perkara itu berdasarkan rekod sepanjang tempoh 25 tahun ini masih terdapat kira-kira 120,000 rumah mampu milik dengan harga berkenaan belum dibina.

"Saya sudah berjumpa dengan kira-kira 12 pemaju dan pemain industri yang membuat rumah mampu milik ini, jadi kita tahu isu-isu dibangkitkan. Kita juga sangat terkejut dengan data selama 25 tahun ini, terdapat 120,000 rumah mampu milik bawah bawah RM200,000 masih belum dibina.

"Jadi saya merasakan ini boleh dikatakan kegagalan daripada sistem kita. Saya tengah melihat untuk menyelesaikan satu persatu isu ini yang mana kita akan membina lebih banyak rumah.

"Perkara ini akan kita perhalusi kerana berdasarkan kajian dan responden juga sebanyak 49,000 rakyat di negeri ini, hampir 50 peratus daripadanya masih menyewa dan tidak memiliki rumah. Ini adalah cabaran untuk portfolio saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Singgah Sahur Kelab Media Johor di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Iskandar Puteri, di sini pada Rabu.

Mohd Jafni berkata, usaha membina rumah mampu milik itu juga akan melibatkan pelbagai kerjasama dengan pihak lain termasuk pemaju swasta.

"Walaupun kerajaan mempunyai tanah dan ada agensi kerajaan seperti Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang membuat rumah ini, tetapi kita perlukan pemaju (swasta) untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membina rumah mampu milik.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersetuju dengan pemaju bahawa rumah berharga RM40,000 sudah tidak relevan lagi, itu mungkin boleh diserahkan kepada kerajaan untuk usahakannya kerana kos membina rumah harga ini sahaja sudah RM100,000," katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga telah berbincang dan hampir bersetuju bahawa pemaju kini boleh bersedia untuk membina rumah mampu milik yang harganya bermula daripada RM100,000 hingga RM200,000.