Ratusan ribu kenderaan dijangka masuk ke Kedah menjelang Aidilfitri

Wan Hassan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Mejar Ahmad Tajuddin yang sakit terlantar sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Jitra di sini pada Rabu.
Wan Hassan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Mejar Ahmad Tajuddin yang sakit terlantar sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Jitra di sini pada Rabu.
A
A
A

KUBANG PASU - Ratusan ribu kenderaan anak perantau dijangka akan mula memasuki negeri Kedah seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan keputusan kerajaan yang tidak lagi menguatkuasakan sekatan pergerakan pada Aidilfitri kali ini.

Katanya, pihak polis juga telah bersiap sedia menguatkuasakan kawalan pemeriksaan termasuk akan melaksanakan Ops Selamat pada 28 April depan.

"Saya sudah arahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri supaya lebih banyak buat kawalan pemeriksaan dan fokus sekarang ini lebih banyak di kawasan bazar Ramadan.

"Di lebuh raya dan tempat yang selalu berlaku kemalangan juga kita beri fokus supaya pemeriksaan dan operasi berterusan dapat dilaksanakan," katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dan Katil Sumbangan Yayasan Petronas di Jitra di sini pada Rabu.

Menurutnya, polis juga akan memastikan tidak berlaku kesesakan diluar kawalan akibat pertambahan kenderaan terbabit.

"Insya-ALLAH saya akan mengarahkan pegawai dan anggota trafik untuk memantau situasi ini agar lalu lintas bergerak lancar. Mereka juga telah dibekukan cuti untuk memberi tumpuan pada penugasan, hanya 10 peratus sahaja dibenarkan cuti secara bergilir," katanya.

Dalam masa yang sama Wan Hassan turut menasihati orang ramai agar membuat pemeriksaan kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

Artikel Berkaitan:

"Buat pemeriksaan sebaiknya supaya tidak berlaku kerosakan di atas jalan raya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain. Kadang-kadang bukan kemalangan sahaja boleh sebabkan jalan sesak, kereta yang rosak di tengah jalan pun boleh ganggu aliran trafik," katanya.

Dalam majlis terbabit, Wan Hassan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Mejar Ahmad Tajuddin Mehat,65 iaitu pesara yang juga bekas Ketua Balai Polis Kota Putra yang sakit terlantar sejak tiga tahun lalu.