Kanak-kanak empat tahun maut dihempap tiang batu pagar

Foto sumber internet. Gambar kecil: Nur Iman Irdina
Foto sumber internet. Gambar kecil: Nur Iman Irdina
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Keseronokan seorang kanak-kanak perempuan bermain di luar rumah bertukar tragedi selepas maut dihempap tiang batu pagar rumahnya di Bukit Nangka di sini pada petang Selasa.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa Nur Iman Irdina Abdul Nuur berusia empat tahun dua bulan sedang bermain bersendirian, manakala ibu mangsa sedang menyiapkan juadah berbuka di dapur dan abangnya berada di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, secara tiba-tiba tiang batu pagar rumah yang terletak di ruang beranda tumbang dan menghempap tengkuk mangsa.

Menurutnya, ibu mangsa yang terdengar bunyi dentuman kuat dari arah luar rumah segera melulu ke arah mangsa dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah pada kepala.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Tambahnya, Nur Iman Irdina merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan bedah siasat dijalankan mendapati, mangsa mati akibat kesan hentakan kuat dari objek keras.

"Hasil siasatan awal didapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan: