'Tak perlu lagi takung air hujan'

P.Prabakaran merasmikan penyerahan rumah Projek Baiti Jannati TNB kepada Mohd Ridzuan (tiga, kiri).
P.Prabakaran merasmikan penyerahan rumah Projek Baiti Jannati TNB kepada Mohd Ridzuan (tiga, kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidur malam lima sekeluarga kini lebih tenang apabila rumah mereka yang usang dengan keadaan bumbung bocor sejak empat tahun lalu kini diganti kediaman lebih sempurna hasil sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penerima bantuan bawah Projek Baiti Jannati (PBJ) TNB, Mohd Ridzuan Abd Rahman, 64, sebelum ini menampung hidup dengan pendapatan sebagai pemandu teksi namun terpaksa berhenti kerana menjaga isterinya Samsiah Bakar, 42, yang menghidapi sakit buah pinggang tahap 4.

Rumah pusaka keluarga terletak di Kampung Selayang Lama yang dihuni sejak kecil itu kian usang dan kesempitan hidup yang dialami membuat mereka sekeluarga tidak dapat menampung kos membaikinya.

Mohd Ridzuan dan Samsiah kini lega apabila tempat mereka sekeluarga berteduh lebih sempurna.
Mohd Ridzuan dan Samsiah kini lega apabila tempat mereka sekeluarga berteduh lebih sempurna.

Mohd Ridzuan berkata, dia memohon bantuan pembinaan kediaman itu sejak Jun tahun lalu melalui ketua penduduk dan bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan TNB untuk dia suami isteri serta tiga lagi anak yang masih bersekolah berteduh.

"Sebelum ni kalau hujan memang dah tak senang duduk. Kalau hujan tengah malam, jam tiga pagi bangun tadah air. Terima kasih kepada TNB kerana sumbangkan rumah ini.

"Sekarang kami lebih selesa dan tenang. Bilik juga ditambah jadi empat termasuk bilik khas untuk proses rawatan penyakit buah pinggang isteri," katanya.

Samsiah yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan menerima bantuan rawatan penyakit dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pencen ilat RM1300 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ridzuan dan Samsiah kini lega apabila tempat mereka sekeluarga berteduh lebih sempurna.
Mohd Ridzuan dan Samsiah kini lega apabila tempat mereka sekeluarga berteduh lebih sempurna.

Sementara itu, Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Kuala Lumpur, Bahagian Retail, TNB, Ir. Sivanas Appadurai berkata, PBJ yang dimulakan sejak 2007 itu mengenal pasti golongan memerlukan untuk dibantu dengan menyediakan kediaman lebih selesa asalkan mereka mempunyai tanah sendiri.

Katanya, peruntukan kos sebanyak RM60,000 disediakan bagi pembinaan setiap rumah bagi penerima yang dikenal pasti.

"Sejak pelaksanaannya hingga tahun lalu, sejumlah 400 rumah seluruh Semenanjung dibina dan dibaik pulih melibatkan kos lebih RM15 juta. Untuk tahun ini, sebanyak RM5.7 juta diperuntukkan bagi bantuan sebanyak 108 rumah seluruh Semenanjung, menjadikannya sebagai komitmen berterusan dari TNB," katanya.

Terdahulu, penyerahan dan perasmian bantuan rumah itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.