Impak besar 'usaha kecil'

Misi rombongan ke Song, Bintulu, Sarawak.
A
A

ALAH setakat program bersunat... ada apa sangat.” Itu antara kedengaran apabila penulis menyatakan niat mahu menyertai rombongan penganjur program berkaitan.

Mungkin bagi sesetengah mereka berfikiran sedemikian, memandang bersunat atau berkhatan beramai-ramai terutama dianjurkan oleh sesetengah badan NGO itu hanya program kecil.

Namun ia tidak bagi penduduk pedalaman khususnya di Pekan Song, Kapit, Belaga dan Kampung Sungai Asap di Bintulu, Sarawak, yang merasakan penganjuran program berkaitan ibarat rahmat besar.

Apa tidaknya, untuk berkhatan bukanlah sesuatu yang enteng di sini, lebih-lebih lagi kekangan disebabkan faktor logistik.

“Kalau boleh selalu buat program begini, bukan senang kami nak pergi ke bandar untuk khatankan anak-anak kami.”

“Susah pergi ke klinik antara punca lambat berkhatan hingga sudah masuk ke sekolah menengah dan ada bergelar bapa pun, baru nak ‘potong’.”

Itu juga antara harapan dan maklum balas penduduk di Sg Asap apabila penulis menanyakan punca kelewatan sebahagian penduduk untuk berkhatan.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Kamaruddin Kassim berkata, selain daripada itu, ada juga punca kelewatan disebabkan kos agak tinggi untuk berkhatan hingga mencecah RM350 seorang!

“Bayangkan, kos berkhatan sudah RM150. Misalnya mereka dari Belaga dan perlu khatan di Bintulu, kos perjalanan sehala RM50, jika pergi balik sudah RM100.

“Tapi kebiasaannya mereka pun tak dapat pulang pada hari sama, takut jika ada komplikasi dan sebagainya. Jadi perlukan tambahan lagi untuk kos makan, minum dan penginapan, hampir RM100.

“Kalau seorang pun sudah banyak, jika satu keluarga itu ada dua tiga orang anak hendak bersunat bagaimana? Jika dikira jumlahnya agak tinggi hanya untuk berkhatan. Tapi dalam program ini kami berikan khidmat percuma,” katanya berhubung program yang sebenarnya bukan ‘kecil-kecil anak’ itu, malahan kos mencecah lima angka.

Beliau berkata demikian semasa Projek Sunathon Sarawak 2018, di Bintulu, bermula berlangsung dari 24 hingga 30 November, baru-baru ini.

Turut serta dalam program itu, Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Sarawak, Dr Mohd Naqib Ahmad Napis.

Misi bermakna

Projek kali ketiga ini merupakan kerjasama Yayasan Ikhlas dengan NGO I-Medik, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Urusetia Saudara Kita (USK) dan Surau Bangi Perdana.

Seramai 68 sukarelawan terlibat termasuk kira-kira 45 pengamal perubatan, dengan 30 doktor dari Semenanjung.

Terdahulu, perjalanan misi berkhatan ini bermula di Song melibatkan lebih kurang 39 peserta khatan, manakala hari berikutnya di Kapit dengan kira-kira 58 peserta.

Misi hari seterusnya bergerak dari Kapit ke Belaga memakan masa hampir enam jam melalui jalan air menggunakan bot ekspres. Peserta khatan di Belaga pula membabitkan kira-kira 60 orang.

Hari terakhir misi di Kampung Sg Asap pula melalui jalan darat memakan masa kira-kira dua jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Kira-kira 70 peserta khatan di sini.

Dengan segala penggunaan pengangkutan udara, air dan darat, khidmat peserta sukarelawan dari Semenanjung dan Sarawak sendiri bagi melaksanakan misi ini bukan sesuatu yang boleh dipandang kecil.

Apatah lagi difahamkan sukarelawan pengamal perubatan mengambil cuti peribadi, mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk terlibat dan menjayakan misi ini dengan kerjasama klinik kesihatan daerah setempat.

Lebih menarik misi dilaksanakan bukan saja bermakna buat peserta dan keluarga terlibat, tetapi kepada sukarelawan sendiri, sekali gus menjadi serampang dua mata bagi menyebarluaskan kebaikan supaya dapat menarik lebih penyatuan ummah dan masyarakat.

Kongsi persamaan, eratkan perbezaan

Perbezaan kaum dan agama menjarakkan hubungan? Jika itu yang anda fikirkan, ia tidak sama sekali berlaku di negeri kenyalang ini.

Uniknya berkhatan di Sarawak bukan saja melibatkan golongan Melayu Islam, tetapi pelbagai etnik khususnya kaum Iban. Malahan menariknya dalam program Sunathon kali ini, lebih separuh daripada peserta khatan adalah terdiri daripada kalangan yang bukan beragama Islam.

Pengerusi USK Sungai Asap, Norayu Chen Abdullah @Chen Avun berkata, pihaknya amat terharu dengan sumbang masa, tenaga secara langsung dan tidak langsung yang sentiasa dialu-alukan.

“Program sebegini mengeratkan hubungan bukan saja sesama umat Islam, tetapi pelbagai kaum sedia ada di Sg Asap. Sesungguhnya ia memberi impak besar penyatuan untuk program komuniti sebegini.

“Ia juga beri imej baik bagi masyarakat berbilang suku, kaum dan agama,” katanya semasa penutup Projek Sunathon Sarawak 2018, di Masjid Al-Fattah, Sg Asap.

Sementara itu, Naib Presiden 1 AJK Sukarelawan & Kemanusiaan I-Medik, Dr Hairuladha Abdul Razak berkata, program diadakan memberikan pengalaman baru buat sukarelawan I-Medik.

Menurutnya, pihaknya yakin lebih ramai ahli I-Medik teruja dengan misi akan datang.

“Harapan kami supaya dapat bekerjasama lagi dalam program seumpamanya pada pada masa hadapan.

“Mungkin ada yang datang dengan tidak dapat membayangkan suasana di Sarawak. Tapi di sini saya yakin mereka dapat suasana dan persepsi baharu,” katanya.

Permintaan mendesak

Terdahulu, mengulas usaha mengadakan program Sunathon di Sarawak, Kamaruddin berkata, ia disebabkan kemudahan di Semenanjung tidak seperti di Sabah dan Sarawak, dengan memiliki klinik kesihatan hampir lengkap.

Menurutnya, permintaan sangat tinggi dan mendesak, malah kerjasama baik pihak klinik kesihatan dan pergigian setempat menyebabkan program dapat diadakan.

“Bukan hanya di Sabah dan Sarawak, di Semenanjung pun kita adakan program seumpamanya terutama di pedalaman kawasan Orang Asli. Jumlah peserta juga meningkat saban tahun,” katanya.

Kerjasama rapat Yayasan Ikhlas dan I-Medik di dalam dan di luar negara sudah bermula sejak lima tahun lalu.

Kamaruddin berkata, Projek Borneo bukan hanya Sunathon, tetapi pihaknya melaksanakan program bantuan persekolahan, Bakul Kasih Ramadan dan Ruai Ikhlas (program pengajian saudara baharu).

“Terima kasih penyumbang. Sumbangan daripada pihak prihatin sangat dialu-alukan untuk menjayakan kesemua program ini.

“Harapan saya, penyertaan badan korporat, doktor, orang perseorangan dan pertubuhan akan lebih meningkat sebab keperluan mendesak untuk mengadakan program sebegini. Tambahan pula di sini tanpa mengira kaum, mereka melaksanakan program berkhatan,” katanya.

Menurutnya, selain Yayasan Ikhlas, belum banyak NGO mengadakan program seumpamanya yang membantu semua masyarakat di Borneo untuk melaksanakan khatan tanpa mengira kaum dan agama.

Terbaharu, Yayasan Ikhlas dalam usaha menyasarkan bantuan kepada 1,220 pelajar miskin dengan memberikan sumbangan Kit Bantuan ke Sekolah 2019.

Sumbangan dialu-alukan dalam bentuk wang tunai dan barangan alat tulis.

Mereka yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan wang tunai ke akaun Yayasan Ikhlas di

CIMB Islamic: 8600 601 366; Maybank Islamic: 5628 3463 6228; Bank Rakyat: 1108 0100 1514 atau Bank Muamalat: 1210 0001165 716. - AG