X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Tumpu tiga fokus pembaharuan, nilai tambah perkhidmatan awam

Mohd Shafiq ketika temu bual bersama pemberita semasa sesi Media Bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di JPA, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah akan menumpukan kepada tiga fokus - pendigitalan, memerangi rasuah dan penerapan pemikiran kolaboratif antara sektor awam dengan swasta - untuk pembaharuan sektor awam serta memberi nilai tambah kepada sistem perkhidmatan.

Beliau yang dilantik sebagai KPPA pada 10 Februari lepas berkata, sistem penyampaian perlu berubah seiring pascapandemik yang memerlukan kecekapan dan keberkesanan berpaksikan kepada rakyat serta mengurangkan kerenah birokrasi bagi memacu pemulihan semula ekonomi.

"Semua agensi bekerjasama dengan merapatkan saf, lebih berkolaboratif dan tidak kerja secara silo, serta mengoptimumkan sumber melalui perkongsian melalui pendekatan pelan MyDigital.

"Usaha ini akan dipergiatkan dengan menyemak semula deskripsi tugas serta pekeliling supaya kekal relevan," katanya dalam perjumpaan bersama media di sini pada Selasa.

Mohd Shafiq berkata, mana-mana pekeliling lama perlu dijumudkan sekiranya tidak berkaitan, dan pendigitalan dirancakkan untuk mengurangkan kerenah birokrasi sekali gus dapat memerangi rasuah.

Beliau berkata, pendigitalan merupakan satu daripada kaedah dalam memerangi rasuah kerana ia akan mengurangkan bersua muka antara yang menerima perkhidmatan dengan pemberi perkhidmatan, mengurangkan ruang dan peluang untuk berlaku masalah salah guna kuasa serta rasuah.

Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah melalui penyumberluaran dan penggunaan digital seperti kamera bagi mengesan kesalahan serta memberi saman, katanya.

Dalam usaha pencegahan rasuah, beliau berkata pusingan kerja dilaksanakan kepada penjawat awam yang berada di jawatan strategik yang boleh mengundang penyalahgunaan kuasa.

Menurutnya, statistik pusingan kerja yang dilaksanakan sehingga 31 Disember lepas menunjukkan 21 kementerian menepati serta melebihi peratusan 50 peratus yang ditetapkan, manakala empat kementerian - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Belia dan Sukan; dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi - masih belum mencapai 50 peratus.

Mengenai usaha pencegahan rasuah melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, beliau berkata ia masih berjalan dan 26 kementerian sudah membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing manakala satu lagi kementerian dalam tindakan berbuat demikian.

Mohd Shafiq berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memohon semua kementerian untuk melihat semula fungsi bahagian dan agensi masing-masing supaya tidak bertindih bagi meningkatkan kecekapan serta merancakkan keberkesanan mutu penyampaian.

Beliau berkata, JPA terlibat dalam melaksanakan inisiatif seperti melahirkan penjawat awam berkemahiran tinggi dalam bidang digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan penjawat awam serta menyediakan warga perkhidmatan awam untuk melaksanakan pendigitalan dalam kerajaan supaya perkhidmatan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.

"Sasaran JPA ialah 80 peratus perkhidmatan kerajaan lebih interaktif dan digital menjelang 2025 daripada 68 peratus sekarang. Oleh itu, kita akan meningkatkan ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ penjawat awam selari dengan digitalisasi dan pengoptimisian proses kerja dengan menambah kemahiran sedia ada dengan latihan tambahan dan mengasah semula kemahiran melalui latihan khusus," katanya.

Mohd Shafiq berkata, kerjasama antara sektor awam dengan swasta akan diteruskan kerana keberkesanan pengoptimuman ketika pandemik Covid-19 dalam bidang kesihatan yang menyumberluar perkhidmatan hospital swasta dan hospital seliaan kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan.

Beliau berkata, kementerian dan agensi telah diminta untuk melihat tugasan dan fungsi yang boleh diberi penyumberluaran dengan melihat kepada ‘economies of scale’ (menguntungkan dari segi kos) dan pulangan pelaburan (ROI) supaya kerajaan dapat memberi tumpuan kepada bidang dan kawasan sektor swasta tidak mahu melabur.

Mohd Shafiq dalam pada itu berkata, nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk 1:20 adalah tidak besar seperti didakwa kerana definisi perkhidmatan awam di Malaysia berbeza dengan negara lain seperti United Kingdom yang tidak menganggap bidang kesihatan sebagai perkhidmatan awam.

Daripada 1.6 juta jumlah penjawat awam kini, sebanyak 300,000 penjawat awam adalah dalam sektor kesihatan dan 600,000 dalam sektor pendidikan, katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!