Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN bernilai hampir RM1 juta

Wan Saiful (kiri) bersama Ahmad Dasuki melancarkan Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN, di Menara PTPTN pada Isnin.
Wan Saiful (kiri) bersama Ahmad Dasuki melancarkan Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN, di Menara PTPTN pada Isnin.
A
A
A

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN dengan menawarkan hadiah bernilai hampir RM1 juta kepada 350 pemenang.

Cabutan itu terdiri daripada tiga kategori iaitu Cabutan Tahunan Jubli Perak, Cabutan Khas Babyku Simpan dan Cabutan Siri dan dilancarkan sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebelum ini Cabutan WOW! diadakan khas untuk pendeposit Simpan SSPN Plus sahaja.

“Buat pertama kalinya ia diperluaskan kepada pendeposit Simpan SSPN Prime sebagai tanda penghargaan kepada semua pendeposit Simpan SSPN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut katanya, kempen itu terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN Plus dan Simpan SSPN Prime dengan deposit serendah RM50 melayakkan pendeposit menyertai cabutan tersebut.

Jelasnya, pendeposit juga boleh menggunakan aplikasi mudah alih myPTPTN untuk membuka akaun dan membuat penambahan deposit secara dalam talian.

Katanya, tempoh promosi bagi Cabutan Tahunan Jubli Perak dan Cabutan Khas Babyku Simpan bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2022 manakala Cabutan Siri berlangsung dari 1 April hingga 31 Disember 2022.

Beliau turut memaklumkan, Simpan SSPN mencatatkan jumlah deposit memberangsangkan iaitu RM11.51 bilion menerusi 5.29 juta akaun sehingga 28 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

“Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Malaysia. Terima kasih kepada semua pendeposit yang menyokong Simpan SSPN selama ini.

“Harapan saya kepada ibu bapa, rebutlah peluang menabung dalam Simpan SSPN seawall usia anak sehari dan jadikan simpanan pendidikan ini sebagai hadiah terindah untuk mereka demi masa depan yang terjamin,” ujarnya.

Wan Saiful menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN.
Wan Saiful menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata, PTPTN giat memberikan fokus membudayakan amalan penabungan untuk perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi.

Katanya, ia selari dengan matlamat PTPTN untuk menjadikan Skim Simpan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia.

“Misi utama galakan penabungan ini untuk memastikan anak-anak tidak dibebani dengan hutang selepas mereka tamat pengajian, sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

“Kita tidak mahu lagi berlaku situasi masa dahulu dan kita yakin jika budaya penabungan ini dapat ditanam, maka kebergantungan kepada hutang akan dapat dikurangkan,” katanya.

Optimis capai RM2.8 bilion deposit Simpan SSPN

AHMAD DASUKI
AHMAD DASUKI

PTPTN menyasarkan jumlah deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak RM2.8 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai susulan kejayaan PTPTN merekodkan jumlah deposit sebanyak RM3 bilion tahun lalu.

“Kesedaran orang ramai untuk menabung dalam Simpan SSPN semakin menggalakkan dengan jumlah pendeposit skim itu kini mencecah 5.29 juta sehingga Februari lalu.

“Tahun lepas, kita mencatatkan kutipan simpanan tertinggi dalam sejarah PTPTN iaitu RM3 bilion berbanding sasaran RM1.8 bilion. Bagi tahun 2022, kita sasarkan sebanyak RM2.8 bilion untuk jumlah simpanan.

“Harapan PTPTN untuk melihat produk Simpan SSPN menjadi satu tabungan yang perlu ada dalam setiap keluarga. Simpanan ini dijamin kerajaan dan dilindungi takaful selain diberi pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun menerusi Simpan SSPN Prime,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang disempurnakan Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas mengenai kempen tersebut, katanya cabutan terbuka kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan sepanjang kempen.

“Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN terbuka kepada semua pendeposit dua akaun berkenaan dengan simpanan serendah RM50.

“Bagi Simpan SSPN Prime, simpanan RM50 melayakkan pendeposit mendapat satu cabutan manakala bagi Simpan SSPN Plus mendapat dua cabutan.

“Tawaran hadiah hampir RM1 juta ini melibatkan tiga kategori iaitu Cabutan Siri yang diadakan sebanyak tiga kali, Cabutan Tahunan Jubli Perak dan Cabutan Babyku Simpan.

“Bagi Cabutan Babyku Simpan, kita sasarkan kepada ibu bapa yang mempunyai kelahiran bayi tahun ini dan ia juga bersempena inisiatif beberapa kerajaan negeri yang memberi sumbangan melalui akaun simpanan Simpan SSPN bagi kelahiran baharu,” katanya.

Jelasnya, cabutan Tahunan Jubli Perak bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini menawarkan hadiah utama berupa sebuah kereta Mercedes-Benz A250 AMG Line, wang tunai bernilai RM100,000 (tempat kedua) dan RM50,000 (ketiga).

Selain itu, hadiah saguhati berupa motosikal Honda Dash 125 menanti 22 pemenang kategori berkenaan.

Hadiah bagi Cabutan Babyku Simpan berupa wang tunai RM250,000 menanti 250 pemenang dan hadiah bagi Cabutan Siri berupa wang tunai hampir RM200,000 menanti 75 pemenang.

Kurang kebergantungan pinjaman

TSUNG FEI
TSUNG FEI

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) disifatkan sebagai pelaburan kewangan yang kukuh selain mampu menjamin pulangan memberangsangkan di masa hadapan.

Pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021, Khang Tsung Fei, 45, berkata, Simpan SSPN di PTPTN berbeza dengan skim tabungan lain sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman kewangan.

“Ia merupakan satu skim yang sangat kukuh dan wang yang disimpan akan mendapat pulangan yang baik pada masa hadapan.

“Saya sudah menyimpan sejak tahun 2020 dan saya akan terus menabung di Simpan SSPN demi untuk pelaburan,” katanya.

Tsung Fei diumumkan sebagai pemenang utama cabutan berkenaan dan membawa pulang hadiah berupa jongkong emas bernilai RM150,000.

Hardave Singh Gill memenangi kereta Proton X50 (kategori paltinum) bagi Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021.
Hardave Singh Gill memenangi kereta Proton X50 (kategori paltinum) bagi Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021.

Sementara itu, seorang pengarah syarikat swasta, Hardave Singh Gill Awtar Singh, 41, diumumkan sebagai pemenang pertama Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021 bagi kategori Platinum dan membawa pulang hadiah utama kereta Proton X50.

“Saya mula menyimpan dalam Simpan SSPN Prime sejak 2014 hingga sekarang dan saya galakkan semua ibu bapa buat perkara sama kerana banyak manfaat yang diperolehi seperti pelepasan cukai dan dividen lumayan,” katanya.

NOR AZIZAH
NOR AZIZAH

Dalam pada itu pemenang pertama kategori Gold, Nor Azizah Abdullah, 47, mengakui tidak cakna mengenai simpanan Simpan SSPN dan hanya mula menabung untuk anak kelima.

“Saya mula menabung pada 2017 atas nama anak kelima dengan potongan sebanyak RM100 setiap bulan.

“Saya sedikit kesal kerana tidak menabung untuk anak pertama hingga keempat. Apabila mereka melanjutkan pengajian di peringkat universiti, memang terasa dari segi kewangan,” ujarnya.

Nor Azizah diumum sebagai pemenang kategori Gold dan membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi 1.5CC.