Tarik balik lesen pengusaha syarikat pelancongan

Mohamaddin (tengah) pada majlis dialog tersebut.
Mohamaddin (tengah) pada majlis dialog tersebut.
A
A
A

BENTONG - Kerajaan akan bertindak tegas dengan menarik balik lesen pengusaha syarikat pelancongan yang masih berdegil dan membiarkan premis masing-masing dicemari dengan aktiviti tidak senonoh dan melanggar norma tatasusila di negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata demikian ketika diminta mengulas insiden membabitkan sekumpulan wanita di sebuah pusat peranginan di Bukit Tinggi, di sini pada 19 Mac lalu.

Menurutnya, setiap pusat pelancongan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan termasuklah dalam isu berpakaian tidak senonoh dan berbogel di tempat terbuka yang menyalahi undang-undang negara.

"Kita sebetulnya akan panggil dia (pengusaha terlibat) dan beri nasihat, kalau tidak dengar kita tarik balik lesen, itu sahajalah.

"Nasihat saya kepada semua pengusaha pelancongan supaya jaga disiplin, beri nasihat kepada pengunjung mengenai peraturan termasuklah jangan melakukan perbuatan tidak senonoh dan berbogel di tempat terbuka.

"Kita ada maruah (rakyat Malaysia) di negara lain kita pergi pun tiada berbogel (dibenarkan berbogel di tempat terbuka)," katanya selepas perasmian Majlis Dialog Pembangunan Eko-Pelancongan di Tanah Aina Fareena,Kampung Temiang.

Sementara itu, beliau berkata, semua pusat pelancongan mengikut garis panduan ditetapkan kementerian termasuk memastikan tiada aktiviti yang melanggar sensitiviti seperti berbogel di kawasan terbuka.

Menurutnya, menerusi Akta Industri Pelancongan 1952, kementerian berhak menarik balik lesen syarikat pelancongan yang melanggar peraturan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam insiden tersebut, sekumpulan wanita berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dengan hanya memakai baju dan seluar dalam.

Pada 22 Januari 2017 seramai 39 peserta satu program motivasi dipercayai melakukan tindakan melampau dengan berbogel dalam satu aktiviti sukan di kawasan padang pusat peranginan berkenaan.