Empat nelayan asing ditahan

Empat nelayan warga asing yang ditahan Maritim Malaysia Negeri Selangor di kedudukan 27 batu nautika barat daya Kuala Selangor petang Selasa.
Empat nelayan warga asing yang ditahan Maritim Malaysia Negeri Selangor di kedudukan 27 batu nautika barat daya Kuala Selangor petang Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Empat nelayan asing ditahan bersama bot oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan 27 batu nautika barat daya Kuala Selangor petang Selasa.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, semua mereka ditahan pada jam 3.30 petang semasa rondaan rutin penguatkuasaan di sekitar perairan Selangor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 24 hingga 45 tahun.

"Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah serta bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rosli berkata, bot bersama hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 400 kilogram itu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah bagi siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar kawasan yang telah ditetapkan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia," ujarnya.

Artikel Berkaitan: