Waspada terima tawaran kerja di media sosial

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

12 daripada 16 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja akhirnya selamat tiba di tanah air pada Selasa, hasil kerjasama antara Kementerian Luar Negara, Polis Kemboja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL).

Kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 45 tahun itu tiba di negara terbabit secara berasingan antara September 2021 dan Februari tahun ini dengan dibiayai sindiket dipercayai dari China yang menyediakan tiket penerbangan.

Kebanyakan daripada mereka berasal dari Selangor, Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negara, Datuk Amran Mohamed Zin bagaimanapun berkata, empat lagi mangsa yang sepatutnya dibawa pulang pada hari yang sama terpaksa menjalani kuarantin di negara tersebut selepas disahkan positif Covid-19.

Mereka akan dibawa pulang ke tanah air selepas tamat tempoh kuarantin tujuh hari di Phnom Penh dan keadaan mereka kini dipantau pihak kedutaan Malaysia di sana.

Mendedahkan mengenai kehidupan 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket itu, Peguam MCA, Heng Zhi Li berkata, ada dalam kalangan mereka pernah didera, termasuk direnjat menggunakan senjata renjatan elektrik, dipukul dan ditampar sepanjang tempoh mereka bekerja di Kemboja.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Zhi Li yang juga Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik Pemuda MCA berkata, mereka bukan sahaja didera secara fizikal tetapi juga secara mental.

Artikel Berkaitan:

Lebih teruk lagi apabila mangsa dijanjikan gaji yang lumayan sebanyak RM7,000, namun masing-masing tidak pernah menerima gaji berkenaan sebaliknya hanya diberikan kad tunai untuk membeli makanan dan barangan dengan dikawal anggota sindiket.

Bagaimanapun, Zhi Li berkata, usaha membawa pulang kumpulan berkenaan bermula selepas pihaknya membuat siasatan selama tiga bulan sejak Januari lalu susulan aduan kakak salah seorang mangsa yang mendapat maklumat mengenai keadaan mereka di Kemboja daripada adiknya.

Pihaknya bekerjasama dengan semua ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan butiran lengkap dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) bagi mengesan koordinat bangunan berserta gambar bangunan didiami mangsa.

Semua butiran lengkap itu diserahkan kepada MAPO dua minggu lalu dan hasilnya mereka dikesan dan diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada 4 April lalu.

Rentetan daripada apa yang berlaku, orang ramai khususnya pelajar lepasan institut pengajian tinggi (IPT) perlu lebih berhati-hati untuk menerima sebarang tawaran pekerjaan yang ditawarkan menerusi media sosial.

Sekiranya berminat untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara, masing-masing perlu menyemak terlebih dahulu dengan kedutaan Malaysia di luar negara bagi memastikan keselamatan diri terjamin dan tidak termakan dengan tipu daya sindiket.