Lelaki tembak 10 penumpang kereta api bawah tanah Brooklyn

Pihak polis mengawal Stesen 36th Street selepas berlaku insiden tembakan. -Foto EPA
Pihak polis mengawal Stesen 36th Street selepas berlaku insiden tembakan. -Foto EPA
A
A
A

NEW YORK - Seorang lelaki bersenjata yang memakai topeng gas dan jaket pekerja pembinaan berwarna oren melarikan diri selepas menembak sekurang-kurangnya 10 penumpang kereta api bawah tanah semasa waktu puncak di Sunset Park, Brooklyn pada Selasa.

Memetik laporan The New York Daily News, lelaki bersenjata itu dipercayai telah melemparkan bom asap ke dalam kereta api R arah selatan di Stesen 25th Street di Brooklyn sebelum jam 8.30 pagi dan mula menembak ketika pintu kereta api ditutup.

10 penumpang telah ditembak termasuk lima yang kini dalam keadaan serius, manakala 11 orang lagi mengalami kecederaan.

“Tidak jelas sama ada dia menembak dari platform stesen 25th Street atau dia juga berada di dalam kereta api, tetapi penumpang yang cedera jatuh dari gerabak kereta api di 36th Street dan menakutkan penumpang lain yang sedang menunggu di sana.

“Foto dan video mengerikan yang dikongsi memaparkan badan mangsa menggeliat di atas platform 36th Street dengan berlumuran darah menunggu untuk dibawa ke hospital.

"Menurut Jabatan Bomba New York (FDNY), pelbagai peranti yang tidak diletupkan telah ditemui di stesen 36th Street, namun Jabatan Polis New York (NYPD) mengatakan tiada yang aktif berikutan semuanya adalah peranti asap," katanya.

Skuad bom telah pun berada di tempat kejadian, manakala unit NYPD kini sedang memburu lelaki bersenjata berkenaan.

Sementara itu, seorang saksi memberitahu The New York Post bahawa suspek melepaskan banyak tembakan, namun jenis senjata yang digunakan masih belum dapat dikenalpasti.

Artikel Berkaitan:

'Pada mulanya, saya fikir dia seorang pekerja Lembaga Pengangkutan Metropolitan (MTA), saya tidak terlalu memberi perhatian. Kamu tahu? Dia telah memakai (baju) oren itu,” katanya.

Satu video mengejutkan menunjukkan mangsa-mangsa berlumuran darah berselerak di atas tanah di stesen kereta api bawah tanah dan kelihatan asap berkepul keluar dari dalam kereta api.

Menerusi video tersebut, seorang mangsa dilihat masih terbaring di atas lantai dengan tangan menutup muka dan kaki terangkat selepas serangan yang menakutkan itu.