ICERD, Statut Rom tindakan bercanggah

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - [KEMASKINI] Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom dan meratifikasi ICERD adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda, tindakan tersebut menyentuh kuasa Raja-Raja, keistimewaan orang Melayu dan kemuliaan agama Islam di negara ini.

“Kerajaan haruslah ingat tentang kontrak sosial dalam sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dahulu di mana keistimewaan orang Melayu dan kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak boleh disentuh dan dikurangkan,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Dewan Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru, di sini.

Sultan Ibrahim bertitah, pihaknya juga mahu mengingatkan kepada kerajaan supaya tidak terus mengikut apa jua konvensyen antarabangsa hanya untuk mendapatkan pengiktirafan dari luar.

“Akhirnya nanti ia hanya akan memusnahkan kedaulatan negara dan menggugat kesejahteraan hidup rakyat sendiri,” titahnya.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut berkongsi serba sedikit mengenai pentingnya institusi diraja dipelihara selain kedudukannya dalam menjaga masyarakat di negara ini.

“Johor adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat, lebih awal daripada Persekutuan Tanah Melayu atau pun Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Kedaulatan itu bermakna Johor mempunyai hak dan kuasa dalam melaksanakan perkara- perkara yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri dan persekutuan,” titahnya.

Justeru itu, Sultan Ibrahim bertitah, sebagai raja dan pemerintah utama negeri, baginda mempunyai hak dan kuasa ke atas kerajaan negeri ini.

“Saya memikul tanggungjawab untuk menjaga Johor dan rakyat yang bernaung di dalamnya.

“Kuasa negeri terhadap agama Islam, sumber air, hutan dan tanah tidak perlu dipersoalkan lagi,” titahnya.

Titahnya, baginda juga mempunyai keistimewaan yang termaktub dalam undang-undang selain bertanggungjawab menjaga kesucian Islam sebagai agama negeri dan keistimewaan orang Melayu sebagai Bumiputera.

“Mana-mana pihak yang telah menyentuh hak dan kuasa raja atau kerajaan negeri adalah melanggar undang-undang negara dan boleh dianggap sebagai penderhaka,” titahnya.