DRB-Hicom, kerajaan Perak tandatangan MoU projek AHTV

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Negeri Perak diwakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan DRB-HICOM diwakili Pengerusi DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada Pelancaran Automotive Hi-Tech Valley di Kompleks Sukan Proton, Proton City pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Negeri Perak diwakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan DRB-HICOM diwakili Pengerusi DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada Pelancaran Automotive Hi-Tech Valley di Kompleks Sukan Proton, Proton City pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - DRB-HICOM Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Kerajaan Negeri Perak untuk projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) yang baharu dilancarkan untuk bersama-sama mengenal pasti tanah tambahan yang sesuai di kawasan itu bagi AHTV.

Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, kawasan itu ketika ini adalah di sekitar kilang Proton Tanjung Malim berkeluasan 1,618.74 hektar dengan kebanyakannya telah diduduki oleh Universiti Pendidikan Sultan ldris, vendor sedia ada serta premis komersial dan hartanah kediaman.

"Tanah tambahan itu adalah untuk pembangunan AHTV termasuk universiti penyelidikan," katanya kepada pemberita pada pelancaran AHTV dan bersempena majlis menandatangani MOU di sini pada Selasa.

Majlis menandatangani MOU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai kerajaan yang lain.

Wan Zulkiflee berkata, DRB-HICOM juga baru-baru ini menandatangani satu lagi MOU untuk AHTV dengan Geely Holding Group untuk bersama-sama membangunkan AHTV dan bekerjasama bagi mengenal pasti vendor dan pelabur untuk hab tersebut.

Beliau berkata, penglibatan rakan strategik DRB-HICOM untuk pengeluar kereta nasional Proton, Geely Holding Group yang terkenal dengan kekuatan teknologinya dalam ekosistem automotif merupakan dorongan untuk AHTV.

"Ini boleh menjadi pemacu kepada pengeluar kereta dan komponen terutamanya dari China untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran tempatan dan untuk mencipta peluang perniagaan serta eksport baharu.

Artikel Berkaitan:

"Pada asasnya, AHTV berpotensi menjadi pintu masuk ke pasaran ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi syarikat yang menjadikannya sebagai pangkalan mereka. Setakat ini, sudah ada 17 vendor beroperasi di kawasan itu," katanya.

Menekankan teknologi dan sistem baharu dalam industri automotif global iaitu elektrifikasi, kecerdasan buatan (Al), teknologi autonomi, dan ketersambungan canggih, AHTV akan menjadi hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

Wan Zulkiflee berkata, projek AHTV bertujuan mengubah landskap industri automotif dengan ekosistem bersepadu yang akan menjadi pemangkin untuk menggiatkan semula sektor automotif domestik selaras dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020.

"Ini bagi memastikan industri automotif Malaysia terus berada dalam kedudukan terbaik, jika tidak lebih maju berbanding negara jiran. Menerusi sistem, infrastruktur, dan sokongan pihak berkepentingan yang betul, AHTV akan berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini, memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan,” katanya. - Bernama