Fokus skuad sepak takraw tak terjejas

Abdul Talib
Abdul Talib
A
A
A

PERSIAPAN skuad sepak takraw negara bagi menghadapi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam bulan depan tidak terjejas biarpun kemelut yang melanda Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) masih belum selesai.

Menurut ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, beliau tidak melihat masalah itu memberi kesan besar memandangkan kesemua pemainnya berada dalam keadaan baik sepanjang sesi latihan yang berlangsung ketika ini.

“Saya lihat pemain-pemain yang terpilih menggalas cabaran Malaysia ke Sukan SEA kali ini langsung tidak terkesan dengan kemelut yang melanda sukan sepak takraw ketika ini.

“Sebab sekiranya mereka terkesan, sudah tentu sesi latihan akan sedikit terganggu. Tetapi saya tidak nampak perkara tersebut, malah ia berjalan dengan lancar seperti biasa.

“Nasihat saya kepada pemain adalah mereka kena fokus pada setiap sesi latihan dan bermain bersungguh-sungguh pada Sukan Sea nanti,” katanya ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Rabu.

Kemelut yang melanda badan induk sepak takraw negara tampak belum selesai selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan PSM masih lagi ahli gabungan mereka yang sah.

Pada masa sama, Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pula memberikan sokongan penuh kepada MSC selepas menyingkirkan PSM.

Dalam pada itu, Abdul Talib memberitahu, beliau menyenaraikan majoriti barisan pemain muda dengan hanya dua senior yang akan menggalas cabaran skuad negara di Hanoi nanti.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya barisan pemain muda yang akan mewakili negara mampu merealisasikan sasaran satu pingat perak dan dua gangsa yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Pada Sukan SEA kali ini, pasukan yang kita hantar terdiri daripada 83 peratus pemain bawah usia 25 tahun dengan tujuh daripadanya berumur di bawah 21 tahun dan tiga lagi berusia sekitar 23 hingga 25 tahun.

“Dua pemain senior pula terdiri daripada Muhammad Afifuddin Razali dan Muhammad Nor Aizat Nordin. Mereka ini akan 'guide' pemain-pemain muda di Hanoi nanti,” ujarnya.