Akta Anti Lompat Parti penting demi kestabilan negara

Mohd Dendera Billah
Mohd Dendera Billah
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Anti Lompat Parti amat diperlukan sebagai pelindung kepada sistem demokrasi dan demi kestabilan negara.

Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, tindakan ahli Parlimen yang melompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu telah mewujudkan kepincangan yang merugikan rakyat dan memalukan negara.

Menurutnya, pembentukan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti itu perlu dilihat sebagai pelindung kepada sistem demokrasi melangkaui hal-hal berkaitan dengan kebebasan dan hak asasi yang terdapat dalam Perlembagaan.

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk menjunjung mandat yang telah diberikan kepada mereka untuk mewakili pengundi.

"Sekiranya mereka gagal untuk menjaga dan memelihara mandat ini, sewajarnya kerusi yang disandang mereka dilucutkan dan pilihan raya baharu diadakan bagi memastikan suara pengundi dapat terus dimartabatkan, " katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru katanya, semua pihak perlu memberi tekanan kepada pemimpin sama ada daripada blok kerajaan dan pembangkang untuk memastikan RUU itu dapat dilaksanakan.

"Baru-baru ini terdapat ramai pihak yang mempertikaikan kewajaran bagi kerajaan untuk meneruskan RUU Anti Lompat Parti disebabkan oleh pindaan yang perlu dibuat kepada Perkara 10 dan Perkara 48 Perlembagaan Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan politik negara, tekanan harus diberikan untuk memastikan RUU ini dapat dilaksanakan walaupun terdapat keperluan untuk meminda Perlembagaan negara," katanya.

Artikel Berkaitan: