1MDB: Kertas siasatan kes suami Zeti dirujuk ke Peguam Negara

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kertas siasatan berhubung pembabitan Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz membabitkan dakwaan penglibatan beliau dengan dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB) telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima kerjasama penuh daripada Commercial Affair Department Singapura (CAD) sepanjang proses perolehan bahan bukti dan soal siasat membabitkan saksi dari negara jiran itu.

"Pihak CAD telah memberikan kerjasama erat sepanjang perbincangan diadakan pada 29 hingga 31 Mac. Hasilnya pasukan penyiasat telah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan.

"Bagaimanapun, bagi memastikan dokumen dan keterangan tersebut boleh diterima di mahkamah, ia perlu melalui proses 'Mutual Legal Assitance' (MLA) yang akan dikendalikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa PDRM telah menjalankan siasatan dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut dari sudut perundangan MLA membabitkan kedua-dua negara.

Sinar Harian pada 24 Mac melaporkan, beberapa saksi di Singapura sudah bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes Tawfiq membabitkan dakwaan penglibatan beliau dengan dana 1MDB.

Sebelum itu, Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Tim Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.