61 pelajar dikejarkan ke hospital akibat terhidu bahan kimia

Seramai 61 pelajar Sekolah Menengah Agama Nurul Islam Ayer Hitam, dekat Jitra dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terhidu tumpahan bahan kimia dipercayai asid sulfurik di sekolah tersebut pada Selasa. - Foto Bernama
Seramai 61 pelajar Sekolah Menengah Agama Nurul Islam Ayer Hitam, dekat Jitra dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terhidu tumpahan bahan kimia dipercayai asid sulfurik di sekolah tersebut pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Seramai 61 pelajar Sekolah Menengah Agama Nurul Islam Ayer Hitam, dekat Jitra dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terhidu tumpahan bahan kimia dipercayai asid sulfurik di sekolah tersebut pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan, mengesahkan kejadian tumpahan bahan kimia berlaku kira-kira jam 10.30 pagi melibatkan pelajar berusia 14 hingga 17 tahun di sekolah tersebut.

Beliau menjelaskan, kejadian berlaku selepas tiga pekerja syarikat terbabit sedang memunggah tong berisi asid sulfurik yang telah tamat tempoh dan difahamkan bahan itu bagi kegunaan pembelajaran di makmal sains sekolah berkenaan.

"Berlaku sedikit kemalangan semasa proses pemindahan itu menyebabkan tong asid itu tumpah lalu menyebabkan pencemaran apabila angin meniup udara tercemar masuk ke dalam kelas ketika murid sedang belajar.

"Seramai 61 murid berumur 14 hingga 17 tahun telah dibawa ke Hospital Jitra, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Klinik Ayer Hitam untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Katanya, kesemua mangsa dalam pemerhatian daripada pihak hospital dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Mengulas lanjut, katanya, kebanyakan pelajar yang terhidu bahan kimia mengalami simptom seperti sakit tekak, sakit kepala dan loya namun kesemuanya stabil.

Menurut beliau, tindakan pantas telah diambil oleh pihak sekolah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian termasuklah meneutralkan keadaan dan menggerakkan pelajar ke Hospital Jitra dan HSB.

Artikel Berkaitan:

"Saya sebagai ketua polis daerah memuji tindakan-tindakan diambil oleh agensi terlibat untuk menangani kemalangan ini apabila sama-sama membantu terutamanya di sekolah-sekolah yang melibatkan ramai pelajar," katanya.

Menurut Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, panggilan kecemasan diterima pada jam 12.20 tengah hari dan dua buah jentera telah digerakkan ke lokasi.

"Setelah tiba di lokasi, didapati terdapat satu tong asid sulfurik yang mengalami tumpahan semasa kerja pemindahan bahan kimia yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang dilantik, bagaimanapun bahan kimia berkenaan talah diasingkan oleh kontraktor berkenaan.

"Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jitra telah membawa sebahagian mangsa manakala sebahagian lagi dibawa oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ke Hospital Jitra dan HSB," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, BBP Jitra telah melakukan pengudaraan serta mencuci sisa-sisa dengan satu aliran satu pancutan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.45 petang.