3.5 juta hektar hutan di Sabah dijadikan hutan simpan kekal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PAPAR - Seluas 3.5 juta hektar hutan di negeri ini dijadikan Hutan Simpan Kekal untuk dipulihara dan dikekalkan sebagai sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya, kata Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini.

Menurut beliau kawasan hutan simpan kekal itu merupakan antara 4.5 juta hektar Kawasan Litupan Hutan yang terdapat di negeri ini.

Katanya ia demi menjaga kelestarian, kepelbagaian biologi hutan, di samping potensi untuk pendapatan daripada sektor eko-pelancongan berasaskan alam sekitar.

Menurutnya kawasan hutan simpan kekal terdiri tujuh kelas mempunyai nilai estetika yang tidak ternilai seperti sungai, air terjun, tanah tinggi dan panorama yang indah.

Semua ini merupakan aset negeri Sabah yang menjadi daya tarikan utama sebagai destinasi eko-pelancongan di rantau ini, katanya pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang dekat sini, hari ini.

Mashor berkata dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan sumber hutan, jabatan tersebut akan terus melaksanakan pemantauan di lapangan, rehabilitasi dan restorasi hutan di kawasan hutan simpan kekal yang terosot nilai.

Beliau berkata sejak 10 tahun lepas, jabatan itu dan pemegang lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) telah melaksanakan program restorasi hutan melibatkan kawasan seluas 61,000 hektar yang ditanam 15 juta anak pokok.

Dalam pada itu, beliau berkata 5,000 anak pokok spesis tempatan ditanam sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya ia ditanam di kawasan terpilih di lima wilayah perhutanan di daerah Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Kudat dan Keningau melibatkan penyertaan pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

Pada majlis sama turut menyaksikan pemeteraian surat niat antara Jabatan Perhutanan Sabah dan komuniti dari kampung Kolosunan, Babagon Toki dan Tampasak Penampang.

Ia bagi projek perintis Bayaran Untuk Perkhidmatan Eko-Sistem (subs:Payment for Ecosystem Services) bagi memulihara bersama Empangan Babagon Penampang. - Bernama