Pakistan boleh jadi pintu masuk Proton tembusi pasaran lain

No Image Caption
A
A
A

ISLAMABAD - PAKISTAN. Pakistan, yang akan menjadi lokasi kilang pemasangan tempatan (CKD) pertama Proton di Asia Selatan, boleh menjadi pintu masuk bagi pembuat kereta nasional Malaysia untuk menembusi pasaran negara lain.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata strategi eksport syarikat adalah mencari negara yang mempunyai pelbagai perjanjian perdagangan dengan negara lain.

“Diharapkan, mereka boleh menjadi pintu masuk bagi Proton, dengan demikian kita tidak perlu ke mana-mana sebaliknya menumpukan kepada pasaran utama yang mempunyai perjanjian perdagangan dengan negara sekitarnya. Ia akan menjadi laluan Proton (bagi pasaran baharu),” katanya kepada media Malaysia selepas majlis pecah tanah simbolik kilang itu pada Jumaat.

Acara itu dirasmikan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya di Pakistan, Imran Khan di sebuah hotel di sini.

Alhaj Automotive, pengedar rasmi kenderaan Proton di Pakistan, akan membuat pelaburan awal US$30 juta untuk membina kilang di kawasan baharu berhampiran Karachi, di wilayah Sindh.

Syed Faisal berkata sebenarnya Proton telah menyusun semula strategi eksportnya, dengan ia mencari pasaran berpotensi cerah dan kekal di sana bagi jangka panjang.

“Strategi baharu itu termasuk pemasangan kereta di pasaran tempatan berbanding mengekspot kenderaan siap dipasang di Malaysia kepada pengedar di sana untuk dijual. Berasaskan itu anda memberi jaminan kepada kerajaan tempatan di sana atau rangsangan kepada mereka untuk bersama anda bagi jangka panjang memandangkan Proton akan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Seperti perkongsian (di Pakistan), iaitu dalam tempoh tiga tahun kita akan mewujudkan 2,000 pekerjaan langsung. Kita menganggarkan tahap hiliran, iaitu keseluruhan ekosistem sektor automotif yang kita mahu realisasikan, Proton akan mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan sampingan." katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Faisal berkata Proton memilih Pakistan untuk membangunkan kilang pemasangan luar negaranya kerana pasaran itu memiliki potensi tinggi.

“Terdapat 17 kereta bagi setiap 1,000 orang - angka itu agak rendah. Kita mahu pasaran ini untuk jangka panjang.

“Selain itu, tidak ada banyak jenama asing di Pakistan buat masa ini sekali gus kita yakin bahawa kita memiliki kelebihan penggerak pertama jika memasuki pasaran itu lebih awal sebelum ia menjadi tumpuan banyak pihak lain. Maka, kita boleh meraih manfaat jangka panjang,” katanya.

Syed Faisal berkata pada masa ini Proton menyasarkan kapasiti pengeluaran sebanyak 25,000 unit setahun mulai Jun 2020 dari kilang baharu itu, dengan Saga sebagai model pertama.

“Kita perlu menentukan kedudukan berdasarkan insentif struktur cukai di setiap negara. Proton kini menumpukan Saga semata-mata kerana model itu berkuasa 1.5 cc dan ke bawah.

“Struktur cukai bagi 1.6 cc dan ke atas adalah berbeza. Kami sedang mengkaji (untuk memperkenalkan) model lain juga di samping mengkaji tingkah laku pengguna di Pakistan. Sesetengah produk mungkin berhasil di Malaysia dan negara lain tetapi tidak di negara ini,” katanya.

Beliau berkata Karachi telah dipilih sebagai tapak kilang itu memandangkan ia merupakan pusat industri automotif dan rakan kongsi Proton berpangkalan di sana.- Bernama