Enam termasuk wanita ditahan disyaki edar dadah

Antara dadah yang dirampas susulan penahanan suspek dalam dua kes berasingan di sekitar Keratong di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Antara dadah yang dirampas susulan penahanan suspek dalam dua kes berasingan di sekitar Keratong di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.
A
A
A

ROMPIN - Polis Daerah Rompin menahan enam individu termasuk seorang wanita pada Sabtu dan Ahad lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan Felda di daerah itu.

Susulan penahanan suspek berusia 30 hingga 39 tahun itu, polis merampas sejumlah dadah dianggarkan seberat 146.59 gram yang bernilai RM6,645.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, tangkapan dilakukan secara berasingan di Felda Keratong 3 dan Keratong 7, Muadzam Shah di sini.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki berusia 32 hingga 39 tahun dalam pemeriksaan di Felda Keratong 3 pada Sabtu lalu.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek polis menemui dadah jenis heroin seberat 20.19 gram dan syabu seberat 2.78 gram dengan anggaran nilai RM980.

"Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkait kes dadah dan mereka turut didapati positif dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Azahari berkata, tangkapan kedua pada Ahad pula melibatkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 30 hingga 39 tahun di Felda Keratong 7.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihaknya menemui dan merampas heroin dengan anggaran berat 101.96 gram, syabu (21.25 gram) dan pil yaba (0.41 gram) dengan nilai kira-kira RM5,645.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek bagi kedua-dua kes itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Polis Daerah Rompin akan terus berusaha membendung kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini terutamanya di kawasan-kawasan Felda," jelasnya.