Biden, Modi bincang tindakan Rusia ke atas Ukraine

Joe Biden dan Narendra Modi - Foto AFP
Joe Biden dan Narendra Modi - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membincangkan situasi di Ukraine dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika kedua-dua pemimpin merasmikan Dialog Menteri 2+2 AS-India keempat.

"Kedua-dua pemimpin membincangkan kesan ketidakstabilan konflik Rusia-Ukraine, dengan tumpuan khusus pada bekalan makanan global. Biden dan Modi berharap dapat bertemu secara bersemuka penghujung musim bunga ini di Tokyo, pada sidang kemuncak Quad," menurut kenyataan Rumah Putih pada Isnin lapor Sputnik.

Kedua-dua pemimpin turut komited untuk mengukuhkan hubungan AS-India melalui kerjasama tenaga bersih, teknologi dan ketenteraan.

"Biden dan Modi komited untuk meneruskan kerjasama dua hala dan pelbagai hala dalam menamatkan pandemik Covid-19, mengukuhkan keselamatan kesihatan global, memajukan keselamatan makanan global, dan memastikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

"Mereka menekankan komitmen bersama, sebagai pemimpin negara demokrasi terbesar di dunia, untuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah semua negara di Indo-Pasifik dan sekitarnya," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri, Modi menyifatkan keadaan di Ukraine sebagai sangat membimbangkan.

Beliau berkata, lebih 20,000 warga India, kebanyakannya pelajar, terkandas di negara itu sejak beberapa minggu lalu.

Menurut Modi, dalam perbualan telefon dengan Presiden Rusia dan Ukraine, beliau meminta kedua-dua pihak untuk berdamai dan mencadangkan perbincangan secara bersemuka diadakan.

Artikel Berkaitan:

"Berita mengenai pembunuhan orang awam yang tidak bersalah di bandar Bucha baru-baru ini sangat membimbangkan. Kami mengutuknya dan menuntut siasatan yang adil. Kami berharap dialog berterusan antara Rusia dan Ukraine akan membuka jalan kepada keamanan," katanya.

Sementara itu pada Isnin, seorang pegawai kanan pentadbiran Biden berkata, AS berpendapat India tidak perlu meningkatkan importnya ke atas produk tenaga Rusia.

"Washington bersedia untuk membantu New Delhi mempelbagaikan import tenaganya,” katanya.

Isu itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut oleh pegawai kanan AS dan India semasa mesyuarat menteri yang dijadualkan pada Isnin. - Bernama