"Sembilan jam terlalu lama"

Poay Tiong menunjukkan gambar rakaman video mengenai gelagat pelancong China di pintu masuk selatan negara ini setelah menunggu lama di pusat pemeriksaan imigresen.
Poay Tiong menunjukkan gambar rakaman video mengenai gelagat pelancong China di pintu masuk selatan negara ini setelah menunggu lama di pusat pemeriksaan imigresen.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu memandang serius isu rungutan pelancong China yang terpaksa menunggu lama sehingga sembilan jam sewaktu melalui pemeriksaan di kaunter jabatan imigresen di pintu masuk negara ini dari Singapura.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keadaan ini dibimbangi akan memberikan imej buruk dan menjejaskan industri pelancongan negara khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurutnya, kejadian tersebut digambarkan menerusi satu rakaman video yang tular di laman sosial menunjukkan pelancong dari China terpaksa membuat tarian singa semata-mata mahu menghiburkan diri sendiri.

Katanya, kejadian yang berlaku di Link Kedua, Johor itu turut memaparkan mereka terpaksa makan nasi bungkus akibat menunggu terlalu la.

"Ini adalah satu kelemahan dan sekiranya mereka menyebarkan perkara ini di negara mereka pasti akan menjejaskan usaha kita untuk menarik ramai pelancong datang ke Malaysia.

"Penduduk negara China mempunyai kuasa beli yang tinggi lantaran mendorong semua negara industri pelancongan di dunia berlumba-lumba menarik kedatangan mereka. Amat rugi sekiranya kelemahan ini akan memberikan imej buruk buat industri pelancongan negara," katanya.

Poay Tiong berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat, Parlimen Kota Melaka di sini, hari ini.

Menurutnya, proses pemeriksaan itu sepatutnya berlangsung dalam tempoh sekitar dua hingga tiga jam sahaja, namun laporan diterima sehingga sembilan jam adalah terlalu lama.

Artikel Berkaitan:

"Saya beri contoh, sepatutnya mereka tiba di Melaka jam 2 petang tetapi akibat sudah terlalu lama di pusat pemeriksaan imigresen akhirnya tiba lewat sehinggakan banyak jadual lawatan terpaksa dibatalkan.

"Begitu juga misalnya mereka patut melihat pertunjukan di Encore Melaka jam 7 malam tetapi sekiranya mereka sampai sudah lewat malam, terpaksa batal dan sekiranya kumpulan pelancong terbabit sudah membuat tempahan di restoran-restoran tertentu, kelewatan yang berlaku pastinya akan menjejaskan segalanya," katanya.

Tambah Poay Tiong, beliau membangkitkan isu tersebut berikutan tahun ini adalah Tahun Melawat Melaka 2019 dan ia pasti akan menjejaskan pengusaha-pengusaha pelancongan di negeri ini.