Sila log masuk terlebih dahulu.

Produk asli Sarawak dibawa ke Arab Saudi

Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah, Arab Saudi bagi penganjuran Sarawak Week mulai 16 April ini.
Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah, Arab Saudi bagi penganjuran Sarawak Week mulai 16 April ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bersama rakan strategiknya, Universiti Sains Malaysia (USM) bakal mengadakan Sarawak Week yang bertempat di Husam Waksa Foodmarket Sdn Bhd, Jeddah, Arab Saudi pada Sabtu ini dalam usaha untuk mempromosi pelbagai produk tempatan Sarawak yang premium dan berpotensi besar.

Antara produk yang akan dipromosikan adalah madu kelulut, lada, gula apong, ikan terubuk masin dan telurnya yang mempunyai nilai keaslian dan keunikan tersendiri.

Usaha yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik di antara Teraju, Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM melalui program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak 2020.

Sarawak Week akan akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, 'Alauddin Mohd Nor; Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Faizalkhan Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah Jaringan Komuniti BJIM, Syed Yusof Syed Kechik, dijangka turut hadir pada majlis perasmian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman berkata, projek yang memfokuskan kepada keterangkuman wilayah dan inklusif Bumiputera B40 di Sarawak ini memberi manfaat kepada lebih daripada 233 orang usahawan Bumiputera yang berpendapatan rendah (B40) di Sarawak.

"Ini adalah selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB 2030) naskah Pembangunan Bumiputera sedekad akan datang yang dibangunkan Teraju dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

"Ia memfokuskan sektor keusahawanan sebagai antara usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara amnya, sekali gus memanfaatkan ekosistem keusahawanan yang ditawarkan oleh kerajaan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jaringan Komuniti BJIM, Syed Yusof Syed Kechik, berkata, Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd telah dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah, Arab Saudi bagi melancarkan lagi penganjuran Sarawak Week.

Katanya, Kedai Asia merupakan entiti pertama perniagaan Malaysia yang berjaya membuka ruang perusahaan runcit di Menara Jam Abraj Al-Bait di Makkah.

"Pemilihan rakan strategik ini dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang Kedai Asia yang telah menerima anugerah Export Award daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada tahun 2017 dan anugerah Social Enterprise oleh Perdana Menteri Malaysia.

"Kedai Asia merupakan kedai runcit milikan pertama anak Malaysia di Arab Saudi dan Negara Teluk bukan sahaja mempunyai kedai secara fizikal, malah turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi pintar. Selain itu, margin penjualan produk Sarawak yang ditempatkan di Kedai Asia telah meningkat sebanyak 68.1 peratus kepada aliran pendapatan semasa Husam Waksa Sdn Bhd," katanya.