Jumlah dagangan Malaysia bagi Februari 2022 naik 17.5 peratus

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah dagangan Malaysia pada Februari 2022 bernilai RM184.8 bilion iaitu peningkatan 17.5 peratus tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport mencatat RM102.3 bilion iaitu meningkat 16.8 peratus tahun ke tahun, manakala import bernilai RM82.5 bilion (meningkat 18.4 peratus tahun ke tahun).

Menurutnya, peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang iaitu +RM3.1 bilion, Selangor (+RM2.7 bilion), Johor (+RM1.7 bilion), Kedah (+RM1.5 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM972.5 juta), Pahang (+RM806.6 juta), Terengganu (+RM578.3 juta), Negeri Sembilan (+RM449.2 juta), Sabah (+RM273.5 juta) serta Perlis (+RM18.2 juta).

"Bagaimanapun, import susut di Melaka (-RM563.5 juta), Perak (-RM452.4 juta), Kelantan (-RM57.0 juta) dan Wilayah Persekutuan Labuan (-RM5.6 juta),” katanya dalam kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Februari 2022 yang dikeluarkan pada Selasa.

Mengulas prestasi eksport mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, eksport pada Februari 2022 meningkat sebanyak RM14.7 bilion (+16.8 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Katanya, eksport lebih tinggi direkodkan oleh kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.7 bilion), Sarawak (+RM3.0 bilion), Kedah (+RM2.2 bilion), Wilayah Persekutuan Labuan (+RM1.6 bilion), Selangor (+RM1.5 bilion), Sabah (+RM1.2 bilion), Johor (+RM1.1 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM1.0 bilion), Pahang (+RM103.8 juta) dan Perlis (+RM23.9 juta).

"Namun, eksport menyusut di Melaka (-RM1.2 bilion), Perak (-RM1.1 bilion), Terengganu (-RM320.2 juta), Kelantan (-RM199.5 juta) dan Negeri Sembilan (-RM31.7 juta),” katanya.

Beliau berkata, antara lima negeri pengimport utama, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (23.1 peratus, Johor (20.2 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7.1 peratus) dan Kedah (6.2 peratus).

Artikel Berkaitan:

Bagi eksport, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 29.6 peratus dan diikuti oleh Selangor (19.3 peratus), Johor (18.7 peratus), Sarawak (8.2 peratus) dan Kedah (4.8 peratus). - Bernama