Kumpulan pro-Rusia dakwa berjaya tawan Mariupol

Pasukan pemisah pro-Rusia mendakwa berjaya menawan bandar pelabuhan Mariupol pada Isnin. - Foto AFP
Pasukan pemisah pro-Rusia mendakwa berjaya menawan bandar pelabuhan Mariupol pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Seorang pemimpin kumpulan pemisah pro-Rusia, Denis Pushilin berkata pada Isnin bahawa pasukannya telah menawan bandar pelabuhan strategik Mariupol di Ukraine.

"Mengenai pelabuhan Mariupol, ia sudah pun berada di bawah kawalan kami," kata Pushilin dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Tentera Rusia telah lebih sebulan mengepung bandar Mariupol di pantai Laut Azov.

Beribu-ribu orang awam dipercayai terkorban sejak bermulanya operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine.

Pada awal Isnin, Pushilin memberitahu wartawan bahawa pihak yang mempertahankan Ukraine berada di kilang-kilang di bandar itu.

"Musuh telah menumpukan pasukannya di kilang-kilang seperti Azovstal, Zavod Ilyicha dan AzovMash," katanya kepada pemberita di Donetsk iaitu ibu kota de-facto di wilayah itu seperti dilaporkan AFP.

"Bagi pusat bandar, unsur-unsur kehidupan yang aman sudah pun dipulihkan. Ia adalah langkah pertama," tambahnya lagi.

Pushilin berkata, pasukan pemisah akan memperhebatkan pertempuran di timur Ukraine. - Agensi

Artikel Berkaitan: