Kerajaan peruntuk RM70 juta atasi krisis air di Kedah

Xavier dan Mukhriz dibawa melawat pameran disediakan sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah.
Xavier dan Mukhriz dibawa melawat pameran disediakan sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua projek diluluskan kerajaan persekutuan bagi mengatasi krisis air di Kedah membabitkan naik taraf Loji Rawatan Air Tupah dan Merbok serta penggantian paip dengan kos RM70 juta.

Menteri Air Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, selain itu, kerajaan juga telah meluluskan 10 projek sumber dan bekalan air dengan siling projek di Kedah berjumlah keseluruhan RM1.7 bilion bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Menurutnya, pihak kementerian memberi perhatian serius terhadap krisis air yang melanda Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun berikutan cuaca panas kering yang melanda Kedah sehingga menjejaskan 5,000 akaun membabitkan lebih 20,000 pengguna.

"Kementerian Air Tanah dan Alam Sekitar (KATS) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengambil langkah segera untuk melaksanakan pembinaan telaga tiub daripada sumber air bawah tanah sebagai sumber bekalan air tambahan kepada sumber sedia ada,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah.

Mukhriz membuat perasmian aktiviti sukan air sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah.
Mukhriz membuat perasmian aktiviti sukan air sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah.

Hadir sama merasmikan majlis, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Namun begitu, rakyat perlu sedar bahawa dalam memastikan kelestarian sumber air, peranan setiap individu amat penting di mana penggunaan air tidak terkawal dan pembaziran yang berlaku menyumbang kepada pengurangan rizab air.

Artikel Berkaitan:

"Rekod menunjukkan bahawa penggunaan domestik air bagi Kedah adalah sebanyak 217 liter per kapita sehari berbanding sasaran kebangsaan 208 liter perkapita sehari pada tahun 2017.

"Bagi elak pembaziran, sebanyak RM44.7 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tak Berhasil (NRW) bawah program NRW Pendekatan 1 Negeri Kedah dengan peruntukan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM12.4 juta.

"Program NRW Kedah ini telah bermula pada 2018 dan dijangka siap pada tahun 2021,"katanya.

Sementara itu, katanya, sambutan Hari Air Sedunia disambut 22 Mac setiap tahun adalah acara tahunan dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1993.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperbaharui tekad semua semua lapisan rakyat di dunia untuk menangani isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara seluruh dunia.

Sambutan yang bertemakan Leaving No One Behind yang mana kerajaan sentiasa berusaha memastikan sumber air mencukupi dan selamat untuk diminum di samping memastikan bekalan air diterima semua sektor pengguna iaitu domestik, industri, pertanian, penternakan dan perikanan.