Putra Melaka hampir lumpuh, 500 ahli keluar parti

Mohd Aluwi (dua, kiri) menunjukkan surat yang diterima mengenai pembubaran jawatankuasa parti peringkat negeri di Ayer Keroh, pada Isnin.
Mohd Aluwi (dua, kiri) menunjukkan surat yang diterima mengenai pembubaran jawatankuasa parti peringkat negeri di Ayer Keroh, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Melaka didakwa hampir lumpuh selepas separuh ahli di negeri itu mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusinya, Dr Mohd Aluwi Sari berkata, jumlah itu mewakili 500 daripada kira-kira 1,000 orang ahli membabitkan Bahagian Kota Melaka, Jasin dan Hang Tuah Jaya.

Menurutnya, keputusan itu dicapai setelah pihaknya menerima surat daripada Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi pada 1 April lalu yang membubarkan jawatankuasa parti di peringkat negeri.

Jelasnya, mereka terkilan apabila tidak mendapat kenyataan tepat dan menyifatkan pembubaran itu satu keputusan tidak adil daripada pihak atasan yang dibuat secara drastik, selain telah menyalahi peraturan pucuk pimpinan parti.

"Saya menerima surat yang ditandatangani Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria yang memaklumkan pembubaran tersebut.

"Maka saya bersama tiga ketua bahagian lain bersepakat keluar parti bersama 500 ahli kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden, Datuk Dr Ibrahim Ali," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini, pada malam Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Aluwi berkata, kemungkinan tindakan pihak atasan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lalu.

"Sedangkan pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan berkenaan usaha memartabatkan ekonomi dan pendidikan bumiputera.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga sekarang saya tidak tahu sebab munasabah pembubaran Badan Perhubungan Putra Melaka.

"Apa pun saya terima keputusan itu dengan hati terbuka dan setakat ini tiada sebarang perancangan untuk tubuhkan parti baharu kerana apa yang lebih penting fokus membantu meningkatkan ekonomi dan pendidikan rakyat," katanya.