Penduduk, usahawan gesa buka bank komersial

No Image Caption
A
A
A

KUALA NERANG - Ketiadaan bank komersial di daerah Padang Terap sejak tahun 2017 menyukarkan penduduk terutamanya usahawan-usahawan di sekitar Pekan Kuala Nerang.

Usahawan tempatan, Datuk Jawiyah Che Dan berkata, penutupan sebuah bank komersial di pekan ini yang menjadi tumpuan usahawan menyaksikan mereka terpaksa ke daerah berdekatan seperti Pokok Sena, Alor Setar ataupun Kubang Pasu sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, bank berkenaan ada menyediakan perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak, dekat sini namun dilihat tidak sesuai berikutan pengguna terpaksa beratur panjang setiap kali mahu membuat urusan.

"Sekarang di daerah Padang Terap ada dua bank, tapi bukan bank komersial. Usahawan di sini terpaksa pergi sejauh 15 kilometer ke Pokok Sena ataupun 35 kilometer jika ke Alor Setar untuk urusan simpan atau tukar duit. Ke Jitra, Kubang Pasu pula jarak kira-kira 40 kilometer.

"ATM bank komersial yang disediakan di sini terhad sebab kena berebut dengan pengguna lain," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Air Percuma dan Tandatangan Pengoperasian Bank Komersial di Pekan Nat Kuala Nerang.

Sebanyak 1,000 tandatangan sokongan diperlukan sebelum memorandum tersebut diserahkan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) Ong Keen Tong berkata, masalah tersebut pernah ditimbulkan dalam mesyuarat penuh bulanan MDPT dan surat permohonan untuk membuka kembali bank komersial di daerah ini telah diserahkan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah pada 21 November tahun lalu.

Jelasnya, pihaknya difahamkan bank tersebut yang beroperasi lebih 30 tahun terpaksa ditutup berikutan tidak mencapai sasaran keuntungan.

Artikel Berkaitan:

"Kami mohon bank-bank komersial lain dapat ambil perhatian tuntutan penduduk ini kerana ada lebih kurang 200 usahawan besar ataupun kecil yang mahukan perkhidmatan ini," katanya.

Pada program yang sama, sebanyak 1,500 botol air turut diagihkan kepada pengunjung sebagai kempen minum air untuk mengelakkan strok haba.

Pegawai Penerangan Daerah Padang Terap, Siti Nor Salwa Abd Razak berkata, kempen tersebut diadakan sempena cuaca panas yang melanda negeri dan negara hari ini.