Shehbaz Sharif dilantik Perdana Menteri baharu Pakistan

Shehbaz Sharif - Foto AFP
Shehbaz Sharif - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Presiden Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), Shehbaz Sharif pada Isnin dipilih sebagai Perdana Menteri ke-23 Pakistan, di tengah-tengah peletakan jawatan beramai-ramai ahli Parlimen yang setia kepada perdana menteri digulingkan, Imran Khan.

Shehbaz, abang kepada bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, menerima 174 undi daripada keseluruhan 342 ahli Dewan Rakyat.

Pemimpin berusia 70 tahun itu mendapat sokongan gabungan pelbagai parti di bawah Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) dan dilihat sebagai pentadbir yang berkebolehan.

Bekas parti pemerintah Pakistan, Tehreek-e-Insaf (PTI), yang menuntut pilihan raya dipercepatkan, sepakat untuk keluar dewan beramai-ramai.

"Ahli Parlimen PTI sepakat untuk meletakkan jawatan kerana menentang kerajaan import," kata pegawai PTI, Farrukh Habib.

Imran dan parti pimpinannya mendakwa kerajaan yang diterajuinya runtuh berpunca daripada campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang berpakat dengan pihak tempatan namun, AS menafikan dakwaan itu.

Penganalisis politik menjangkakan Imran akan memberi tekanan terhadap kerajaan baharu untuk memaksa pilihan raya umum dipercepatkan memandangkan PTI dilihat menerima sokongan sebahagian besar rakyat.

Peletakan jawatan secara beramai-ramai dari Parlimen akan membantu Imran mengukuhkan lagi kedudukan politiknya dan menyukarkan kerajaan baharu, kata bekas diplomat Abdul Basit menerusi media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah keputusan berani dan selaras dengan dasar awamnya,” kata beliau.

PTI sebelum ini mencalonkan bekas Menteri Luar, Shah Mahmood Qureshi untuk mencabar Shehbaz, yang kemudian memboikot sesi pemilihan perdana menteri baharu.

Timbalan Speaker Qasim Khan Suri, yang berada di kerusi speaker ketika sesi bermula, turut keluar dari dewan.

Shehbaz ialah bekas Ketua Menteri wilayah Punjab, yang mewakili lebih separuh daripada 220 juta penduduk Pakistan.

Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan angkatan tentera. - Bernama