Ismail Sabri puas hati ahli Parlimen sepakat

Foto: Facebook Ismail Sabri Yaakob
Foto: Facebook Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpuas hati melihat ahli-ahli Parlimen sepakat kata dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang diadakan di Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin ini.

Ujar beliau, pembentangan RUU Anti Lompat Parlimen itu merupakan satu manifestasi ke arah politik yang lebih sihat dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Berpuas hati melihat penyatuan ahli-ahli Parlimen dalam Sidang Khas di Parlimen hari ini.

“Blok kerajaan dan pembangkang senada dan harmoni untuk membentuk jawatankuasa pilihan khas parlimen bagi meneliti pindaan perlembagaan yang lebih khusus mengenai lompat parti serta mewujudkan Akta Anti Lompat Parti,” kata Ismail Sabri dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Pada Isnin, kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mempersetujui tiga perkara berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ismail Sabri di Parlimen pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiga perkara yang dipersetujui itu termasuk memperhalusi tafsiran larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sokongan dari semua ahli Parlimen tanpa mengira parti menyebabkan undi sebulat suara boleh diperolehi.

“Malaysia ke arah kestabilan politik yang lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: