RUU Anti Lompat Parti: Maksud yang terlalu luas boleh disalah guna

Muhyiddin ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Maksud yang terlalu meluas dalam pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dibimbangi boleh disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menafikan hak dan kebebasan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) berkata, keadaan itu juga boleh menyebabkan hak dan kebebasan wakil rakyat terlibat tersekat dalam menegur atau menyuarakan sesuatu perkara yang bertentangan dengan pandangan pemimpin parti mereka.

“Semasa sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ini saya telah menyatakan beberapa pandangan saya antaranya ialah saya telah meminta kerajaan mengkaji semula definisi lompat parti kerana saya tidak setuju sebagai contoh seorang ahli Parlimen yang dipecat daripada partinya atau pun meninggalkan parti atas sebab tertentu dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

“Ada banyak sebab seorang ahli Parlimen itu dipecat daripada parti atau pun meninggalkan partinya. Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti, menyatakan sesuatu yang pada mereka adalah hak (mereka) tetapi tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin parti lalu dipecat daripada partinya atau kerana partinya telah lari daripada landasan prinsip perjuangan yang sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara.

“Kalau dilihat kepada contoh itu ia adalah situasi yang berbeza. Jadi kalau sekiranya RUU Anti Lompat Parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian maka RUU yang diperkenalkan ini adalah zalim.

“Maka, saya melihat pengecualian dalam perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana ahli Parlimen yang akan terkesan dengan RUU ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahasakan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Tambah Muhyiddin, adalah menjadi tanggungjawab besar buat semua ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat untuk membuat pertimbangan sewajarnya agar dapat melindungi hak asasi kebebasan wakil rakyat dan rakyat secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikir sekiranya ini undang-undang akan terpakai maka tidak ada ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, yang mengamal rasuah dan penyelewengan kerana bimbang akan dipecat oleh parti dan seterusnya hilang kerusi parlimen yang disandang.

“Ini boleh menjadi satu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita,” katanya.