Menteri Agama Myanmar bimbang orang Islam jadi majoriti

Thura Aung Ko. - Foto AFP
Thura Aung Ko. - Foto AFP
A
A
A

YANGON - MYANMAR. Menteri Agama Myanmar, Thura Aung Ko, bimbang bahawa etnik Islam Rohingya akan menjadi penduduk majoriti di negaranya satu hari nanti.

Menerusi laporan Reuters, beliau juga menuduh masyarakat yang menjadi pelarian di Bangladesh itu dikenakan 'tekanan minda' oleh Bangladesh supaya berarak masuk ke negaranya.

Aung Ko juga menghina etnik yang menganuti ajaran Islam itu dengan menyifatkan agama mereka sebagai ekstrem serta menggelar mereka sebagai 'keturunan Bengali'.

"Ketika orang kami yang beragama Buddha mengamalkan monogami dan mempunyai seorang atau dua orang anak, satu ajaran agama ekstrem menggalakkan penganutnya beristeri tiga atau empat hingga melahirkan 15, 20 anak.

"Selepas tiga, empat atau lima dekad lagi di negara Buddha ini, komuniti agama itu pasti akan menjadi minoriti di negara sendiri," kata Aung Ko dalam satu video yang disiarkan oleh Radio Free Asia.

Aung Ko memberi penjelasan lanjut kepada ucapannya pada 27 November lalu apabila beliau membincangkan isu kadar kelahiran anggota masyarakat yang menganuti 'ajaran ekstrem' yang mengancam penganut Buddha di Myanmar.

Semalam, ketika menerangkan 'agama yang ekstrem' itu, beliau mengakui membuat rujukan kepada orang Bengali.

Komen Aung Ko dalam video itu dikongsi oleh portal berita NewsWatch yang turut menyaksikan beliau berkata: "Pelarian di kem perlindungan itu turut memberi tekanan minda kepada belia Bengali supaya mara (ke Myanmar). Mereka sudah merancang perkara itu. Masa depan masyarakat Bengali yang sudah terlalu ramai ialah dengan masuk ke Myanmar."

Artikel Berkaitan:

Kenyataannya disiarkan ketika nasib etnik Rohingya menjadi pertikaian diplomatik di antara Myanmar dan masyarakat antarabangsa.

Lebih 730,000 etnik Rohingya lari dari negeri Rakhine di Myanmar selepas tentera negara itu mengganas sejak Ogos tahun lalu dan kini berada di khemah perlindungan di Bangladesh.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh askar Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai, memperkosa dan membakar ratusan perkampungan Rohingya dengan tujuan menghapuskan kaum itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Myanmar terus menafikan semua dakwaan itu.