Draf Rancangan Tempatan MBPP 2030 sedang dimuktamadkan

Kerajaan Pulau Pinang sedang memuktamadkan Draf Rancangan Tempatan MBPP 2030. - Foto 123RF
Kerajaan Pulau Pinang sedang memuktamadkan Draf Rancangan Tempatan MBPP 2030. - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang memuktamadkan Draf Rancangan Tempatan MBPP 2030.

Kandungan Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 telah dibentangkan dan diterima oleh Mesyuarat Penuh Majlis pada 28 September tahun lalu untuk diadakan publisiti awam selepas mendapat pertimbangan daripada kerajaan negeri.

Perkara itu disahkan melalui kenyataan oleh Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri bagi menjawab beberapa dakwaan mengenai rancangan tempatan itu yang dikatakan tidak wujud selain tidak pernah didedahkan kepada umum.

"Pada prinsipnya, penyediaan Pelan Rancangan Tempatan adalah tertakluk kepada keperluan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Lazimnya segala keperluan berkaitan dipinda selaras dengan dasar-dasar terkini pembangunan negeri seperti hala tuju Visi Penang 2030 dan Rancangan Struktur Negeri 2030 yang telah diwartakan dan diselaraskan dengan Pelan Rancangan Tempatan," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Penang Citizen Awareness Chant Group menggesa MBPP dan kerajaan Pulau Pinang mendedahkan pelan tempatan pembangunan agar setiap perancangan bandar di negeri ini dibuat dengan terancang dan teliti.

Penasihatnya, Yan Lee berkata, pelan tempatan pembangunan adalah penting bagi mengelakkan setiap perancangan pembangunan dibuat sesuka hati tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang yang akan dihadapi nanti.

Menurutnya, sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri ini sejak 14 tahun lalu, pelan tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum.

Artikel Berkaitan:

Katanya, isu pelan tempatan pembangunan itu telah dibangkitkan sejak dahulu lagi namun sehingga sekarang, ia masih belum didedahkan kepada umum oleh MBPP mahu pun kerajaan negeri.