Kerajaan, PH setuju perhalusi pindaan perkara 10 Perlembagaan Persekutuan

Wan Junaidi membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto: Bernama
Wan Junaidi membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mempersetujui tiga perkara berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiga perkara yang dipersetujui itu termasuk memperhalusi tafsiran larangan ahli Parlimen bertukar parti.

“Perkara lain yang dipersetujui adalah cadangan untuk memansuhkan perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu.

“Turut dipersetujui adalah menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Perkara 48(6) menyatakan seseorang yang melepaskan keahliannya di Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.

Tambah Wan Junaidi, kesemua perkara yang dipersetujui antara kedua-dua pihak itu akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan dilantik oleh Dewan Rakyat nanti.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, sistem pentadbiran negara yang teratur, efisien dan efektif sentiasa menjadi fokus utama kerajaan yang memerintah.

Justeru katanya, dalam hal ini kesepakatan bersama kerajaan dan pembangkang adalah penting dalam mengembalikan kestabilan politik negara dalam keadaan semasa penularan Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Komitmen ini menjadi keutaman kerajaan mengambil kira senario politik negara kebelakangan ini melibatkan ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau dalam bahasa mudahnya lompat parti.

“Keadaan ini telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil di Dewan Rakyat,” katanya.