4,677.06 tan sisa pepejal domestik terhasil

Jezlily Jamaluddin
A
A

TEMERLOH - Sebanyak 4,677.06 tan sisa pepejal domestik keseluruhan terhasil sepanjang tempoh dua bulan iaitu Januari dan Februari tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Jezlily Jamaluddin berkata, bagi jumlah yang terhasil daripada sektor lain seperti sisa kebun pula membabitkan 1,055.57 tan keseluruhan untuk tempoh terbabit.

Menurutnya, kesemua sisa itu dibuang dan diproses di Tapak Pelupusan Belenggu Halt, Temerloh.

"Kita akan terus mengatur pelbagai langkah untuk mengatasi masalah pembuangan sampah yang berlaku di daerah ini.

"Buat masa ini memang masyarakat ada yang terkeliru dengan fungsi MPT dalam aspek ini kerana pengurusan sampah di bawah kerajaan Persekutuan menerusi agensi berkaitan dan kita membayar hingga RM550,000 sebulan untuk aspek itu kepada pihak terbabit," katanya.

Bagaimanapun katanya, MPT tetap memainkan peranan mereka dan merancang pelbagai aktiviti kesedaran serta pendidikan untuk masyarakat.

"Antaranya kempen Bazar Bersih, kempen buang sampah dalam tong sampah, kitar semula di sekolah, tadika, masjid, aktiviti 'plogging' mengutip sampah guna tangan di lokasi-lokasi tumpuan selain pertandingan kitar semula di sekolah.

"Orang ramai perlu ada kesedaran dan amal nilai-nilai murni serta tidak hanya bergantung kepada agensi dan jabatan kerajaan," katanya.